Friday 23 January 2015

Mesej Cinta Terakhir : I Love You 1




Jantung Puan Mumtaz seakan-akan mahu berhenti berdetak setelah telinganya denga jelas menangkap ayat-ayat yang terlantun keluar dari bibir anak gadisnya yang sedang enak melepak di sofa dalam ruang tamu.Ketika itu,tangannya ligat menyusun pasu-pasu hiasan yang berada di dalam almari kaca.Mata terus membulat dan tangan yang ligat tadi berhenti mendadak.

Tubuh yang sedang enak melepak di atas lantai terus dibawa mendekati sofa yang diduduki oleh Farhah.Jelas yang Farhah cuma tayang muka selamba bagai tak ada apa-apa perasaan sambil mengunyah epal merah.Siap boleh bersandar senang hati lagi di penyandar sofa.”

“Kau cakap sekali lagi apa yang kau sebut tadi?Mak tak berapa nak dengarlah!”suara Puan Mumtaz meninggi.Lengan baju kurungnya juga telah siap disinting di kedua-dua belah tangan sehingga paras siku sambil merenung wajah Farhah di depan bagaikan emak singa menunggu masa nak menerkam mangsa.

Suara Puan Mumtaz yang ala-ala macam jurulatih taekwando memberi arahan pada anak-anak buahnya sedikit pun tak menggentarkan hati Farhah sebaliknya dia sekadar terjungkit kening,mengunyah lagi sisa epal di tangan dan terus menghalakan matanya ke kaca televisyen di depan.Betul-betul macam tak ada perasaan.

Gelagat Farhah benar-benar membuatkan Puan Mumtaz segera henyakkan tubuhnya ke sebelah Farhah sebelum menarik rakus bahu perempuan itu sebelum jari telunjuk naik ke muka Farhah,mengisyaratkan agar Farhah mengulangi lagi apa yang telah dituturnya tadi.
Farhah melepas nafas panjang dan berat.Sisa epal dalam mulut ditelan lalu menekur roman wajah ibunya di sebelah.

“Far cakap Far nak bercerai!”

“Apa kau kata?”Puan Mumtaz menguatkan suaranya.Pedulilah kalau sampai jiran-jirannya terdengar.Sekarang ini,apa yang penting dia mahu membasuh anaknya cukup-cukup.Tiba-tiba rasa geram dengan Farhah yang bereaksi seperti tak ada apa-apa sedangkan perkataan yang keluar dari mulutnya tadi membuatkan Puan Mumtaz sendiri hampir semput.Nak luruh dan gugur dah jantung ni!

Farhah berdecit halus.Epal di tangannya diletakkan saja di atas meja kopi di depan lalu tangan digosok-gosok sesama sendiri sebelum menginjakkan diri sedikit menjauh dari Puan Mumtaz.

“Mak,Far belum pekak lagilah.Suara mak tu boleh dengar sampai hujung taman ni tau!”dia memprotes terang-terangan tapi mata tetap dihala ke depan bagaikan rancangan yang sedang bersiara di televisyen sekarang sangat menarik perhatiannya berbanding Puan Mumtaz di sebelah.

Farhah jeling sedikit wajah Puan Mumtaz.Ternyata wanita itu terus merenungnya bagaikan dia seorang pesalah jenayah berat yang sedang menunggu masa untuk menerima hukuman.

“Aku tak puas hati ni,kau ulang balik apa yang kau cakap tadi.”
“Mak,janganlah pura-pura tak dengar!Far dah cakap lebih dari dua kali dah.Nak Far buat siaran ulangan ke?”Farhah menjungkitkan kening.

Puan Mumtaz di sebelah rasa macam nak piat saja kuat-kuat telinga anka perempuannya walaupun usia Farhah sudah tidak layak menerima hukuman sebegitu.Masa kecil-kecil dulu seronoklah dia piat telinga Farhah jika dia berbuat salah tapi ini dah besar panjang,umur dah nak masuk 29 tahun.

“Eh,Farhah...kau jangan nak main-main tau!Jangan nak buat lawak depan mak!Kau ingat kau tu tengah on air dalam rancangan komedi ke apa?”tengking Puan Mumtaz dengan suara kuat.Farhah melepaskan nafas berat.Penat betul bercakap dengan emaknya yang seorang ini.Benda senang saja pun.Dah terang-terang dia beritahu tadi.Bukan sekali,bukan dua kali tapi lebih daripada itu dia beritahu pada Puan Mumtaz dan dia yakin yang emaknya itu memang mendengar dengan jelas.

“Mana ada Far main-main,mak.Far serius ni!”

“Ya Allah,apa kena dengan kau ni Farhah?”Puan Mumtaz memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan sambil menayang muka berkerut.

“Tak ada apa-apa.”

“Tak ada apa-apa konon!Kalau tak ada angin,tak ada ribut...apsal tiba-tiba nak bercerai berai pula ni?Kau jangan buat pasal,Farhah!”

“Buat pasal apa,mak?Far cuma cakap pada mak yang Far nak bercerai.Itu aje.”Farhah masih beriak selamba sedangkan Puan Mumtaz sendiri dah seperti kucing hilang anak saja.

“Kau cuba cerita dengan mak betul-betul.Apa kes sampai kau nak bercerai ni?Kau gaduh dengan Muhsin ke?”bahu Farhah ditarik laju.Mata menjegil pandang Farhah.Hatinya tidak senang mendengar perkhabaran Farhah yang mahu bercerai dengan suaminya Muhsin.Entah apalah kenanya budak berdua ni.Elok-elok aje hidup sebagai laki bini tiba-tiba nak bercerai pula!

“Apa kes sebenarnya ni?Muhsin ada simpan perempuan lain ke?”tebakan Puan Mumtaz membuatkan Farhah mencebik.Laju saja dia menggeleng lalu memeluk tubuh.Mata sengaja dilarikan dari wajah Puan Mumtaz.Ini yang kadang-kadang dia rimas dengan gelagat emaknya ni.Suka betul buat bagi reaksi yang menakutkan seperti ini pada hal dia cuma beritahu dia nak bercerai.Bukannya dia beritahu yang dia sakit atau apa-apa.

“Dah tu,kau yang ada jantan lain?”ayat Puan Mumtaz yang serkap jarang membuatkan Farhah berdecit-decit kasar,memprotes.

“Ada ke situ pula mak ni.Far ni masih waraslah,mak.Masih ada akal dan tahu beza hukum hakam.Takkanlah Far nak buat perkara tak senonoh macam tu!”

“Habis tu,kalau dah Muhsin sendiri tak ada perempuan lain dan kau pun tak pasang jantan lain kat belakang dia,apa hal yang kau orang berdua nak bercerai?Orang...kalau ada akal,tak adanya nak buat perkara bodoh macam ni.”bebelan Puan Mumtaz masuk terus ke telinga Farhah.Tapi dia cuma kaku di sofa seakan-akan sedang tercampak dalam sebuah dimensi yang berbeza dengan emaknya.

“Hoi,cik kak!Kau dengar tidak apa mak tanya ni?”paha Farhah ditampar kasar dek tangan puan Mumtaz yang berisi sehingga Farhah terkejut.

“Sakitlah mak.”pahanya digosok-gosok sambil buat muka.

“Kalau dah tahu sakit,soalan mak kau ni jawablah!”Puan Mumtaz mengetap bibirnya menahan geram.Ikutkan hatinya,nak saja dia bagi ceramah percuma mengenai rumahtangga pada Farhah tapi dia mesti mendengar apa masalah anak menantunya sampai nak bercerai berai begini.Terkejut sungguh tapi dia tak berpuas hati dengan reaksi anaknya.Boleh dia buat muka selamba!Hei,nak kena ketuk ni!

“Entah.”

“Entah?”menjegil mata Puan Mumtaz.

“Mungkin kami dah tak ada persefahaman dah kut?”

“Kau ni biar betul,Farhah?Itu saja alasan kau nak bercerai dengan Muhsin?Eee...kau ni betul-betul buat mak sakit hati ajelah!”

“Apsal pula?”Farhah tenung muka Puan Mumtaz dengan perasaan pelik.Eh,mak aku ni.Tak puas hati apa lagi?

“Kau ada sembunyikan apa-apa daripada mak ke?Baik kau cakap apa sebenarnya punca kau dengan Muhsin nak bercerai?Takkan dah tak ada persefahaman pun dah ambil keputusan nak bercerai?Tak masuk akal betullah!”

“Betullah,mak.Kalau dah tak ada persefahaman,buat apa nak teruskan hubungan yang dah retak menanti belah ni.Kalau Far ke kiri dia ke kanan,tak sama haluan...kan lebih elok aje berpisah.Tak ada siapa yang akan sakit hati nanti.”

“Senang saja kau bercakap ya?Buat muka macam tak ada perasaan.Kau ingat perkara cerai berai ni perkara mainan ke?Ni siapa yang mulakan dulu?”

“Far tahu perkara ni bukan perkara kecil.Tapi Far dah fikir masak-masak dan kami berdua pun dah bersetuju.Jadi,kami berdua ambi keputusan untuk berpisah.Tak ada jalan lain lagi dah!”

“Oh,waktu buat keputusan nak bercerai boleh pula kau orang berdua ada persefahaman.Hah,eloklah tu.Dua-dua dah bersetuju nak bercerai.Dulu masa kahwin,bukan main tak ingat dunia.Buat majlis besar-besaran,gah bukan main sampai boleh masuk Malaysian Book of Records.Apa orang sekarang kata,Wedding of The Year?Hah,sekarang nak bercerai berailah pula!Hei,Farhah...Farhah...kau dengan Muhsin fikir perkara kahwin cerai ni perkara main-main ke,hah?Bila suka,kahwin...bila tak suka,bercerai.Macam tu?”Puan Mumtaz dah nak buat amukan pada anaknya.Geram sungguh.

“Janganlah diungkit benda yang dah lepas,mak.Far tahu masa Far kahwin dulu,dah banyak duit berhabis untuk majlis tu.Tapi apa yang jadi sekarang ni bukan kehendak Far atau pun dia.Kami sama-sama tak pernah fikir perkara macam ni akan berlaku.Tapi kita kena berbalik kepada kehendak takdir,kan mak?Far dah berusaha sehabis daya nak selamatkan perkahwinan kami tapi jalan penyelesaiannya tetap tak ada.Kami memang dah tak boleh hidup sebagai pasangan suami isteri lagi.Memang dah tak boleh.Far hanya nak bercerai dan mulakan hidup baru.Itu saja.”balas Farhah mendatar.

Tangan Puan Mumtaz pantas diraih dan menggenggamnya kemas-kemas.Anak mata wanita separuh abad itu ditenung meminta pengertian.

“Far cuma nak sokongan daripada mak dengan ayah aje sekarang ni.Far nak restu mak ayah.”

“Apa kau merepek ni?Restu apa?Restu nak jadi janda?”tempelak Puan Mumtaz sambil menarik tangannya dari genggaman Farhah.Marah betul dia.Nak saja dia luku-luku kepala Farhah.Ini mesti buat keputusan dalam keadaan sedang marah.Mesti tak fikir panjang gamaknya.Apa,dia ingat senang nak galas status janda?Umur tak cecah tiga puluh tahun dah jadi janda.

“Tak kisahlah mak...nak jadi janda ke,balu ke...kalau dah itu takdir untuk Far,nak buat macam mana lagi,kan?”Farhah jawab pasrah.

Sebenarnya,hatinya sakit bila mendengar perkataan janda meniti di bibir sendiri.Tapi dia dah tekad,nak jadi apa pun jadilah.Yang penting,niatnya untuk bercerai tetap diteruskan.
Puan Mumtaz mendengus deras lalu meraup kepalanya.Susah benar kalau ada anak seperti Farhah.Kalau dah hitam katanya,hitamlah.Tak adanya nak jadi putih,kelabu,biru,merah atau sebagainya.Pening kepala dibuatnya.Ini mujurlah dia anak anak seorang,kalau dia ada anak yang lain tak tahulah kerenah yang macam mana lagi dia nak menghadap.

“Mak dah tak tahu dah nak cakap apa lagi pada kau.Kau tu dah besar,kalau mak membebel panjang berjela nanti kau kata mak tak sporting.Mak sekolahkan kau nanti kau cakap kau dah cukup bijak pandai.Sekarang ni,mak nak kau fikir dalam-dalam sebelum buat tindakan melulu.Umur kau tu pun bukannya muda lagi.Dah nak masuk 29 tahun.Dah boleh fikir yang mana baik dan yang mana buruk.Jangan buat keputusan yang akan memakan diri sendiri nanti.”sesaat kemudian,Puan Mumtaz terus berlalu meninggalkan Farhah sendirian di ruang tamu.

“Mak,Far tetap nak bercerai!”pekiknya.Bertekad.
***
 Puan Adibah menuju ke bahagian luar rumahnya,ke kawasan kolam renang sambil membawa segelas air yang baru siap di bancuh.Hati masih tak sudah berdongkol geram sebenarnya tapi dia gagahkan juga diri agar tidak cepat melatah.Ikutkan hatinya,nak saja dia simbah air sejuk dalam gelas di tangan ke atas kepala anak lelakinya yang enak melepak di hadapan kolam renang sambil buat gaya macam pelancong di tepi pantai.Siap dengan baju bunga-bunga,seluar pendek,topi besar di atas kepala dan kaca mata hitam yang elok tersangkut atas batang hidungnya.

“Air,Sein.”tegurnya sambil menghulurkan gelas kepada Muhsin.Puan Adibah mengambil tempat di kerusi sebelah Muhsin sambil merenung wajah lelaki itu yang napak tenang-tenang saja.

“Terima kasih,ibu.”ceria betul Muhsin membalas sambil mencapai gelas dari tangan Puan Adibah.Air disisip sedikit sebelum meletakkan gelas ke atas meja kecil di tepi kerusi santainya sebelum dia kembali merehatkan diri dengan meletakkan kedua-dua tangannya ke belakang kepala.

“Kau cuti berapa lama ni?”soalan Puan Adibah memang disengajakan.Sejak lebih sejam yang lalu anaknya singgah ke sini,dia cuma diberitahu yang Muhsin bercuti hari ini.Tapi dari gayanya macam nak bercuti lama saja.Dia tahu anaknya itu sentiasa sibuk dengan kerja.Hari Sabtu pun sibuk di pejabat.Itu yang dia rasa pelik sedikit bila tiba-tiba saja muhsin datang ke sini dan beritahu yang dia cuti sedangkan dua tiga hari lepas Muhsin asyik sibuk dengan urusan pejabat yang dia sendiri pun kurang faham.

“Tiga hari.Hari Selasa Sein masuk pejabat semula.”
“Sepanjang cuti ni,nak tinggal kat sini ke?Tak nak balik rumah?”
“Nak balik rumah buat apa,ibu?Tak ada apa pun kat sana.”

“Amboi,habis tu yang bini kau tu apa?Nak biar Farhah seorang diri kat sana?”
Muhsin selak topi besarnya lalu melurutkan kaca matanya sebelum tenung wajah Puan Adibah cermat.Seketika,keningnya mula bercantum rapat.

“Pergilah balik.Waktu-waktu cuti macam nilah patutnya kamu berdua meluangkan masa bersama.Isi masa lapang berdua.Paling tidak pun,bawalah Farhah berjalan-jalan.”cadangan Puan Adibah mendapat cebikan halus dari Muhsin.

“Hah,apa hal tayang muncung macam tu dekat ibu?”

“Nak bawa Farha berjalan-jalan apanya ibu.Dia dah balik rumah mak dia dah.”

“Hei,ibu tak fahamlah dengan kamu berdua ni.Seorang ke sana,seorang ke sini.Apa kata kau pergi rumah mak mertua kau tu dan ambil Farhah bawa balik.Bincang elok-elok masalah kau orang tu.Jangan biar macam ni,nanti melarat.Benda masih boleh dibawa berbincang,Sein!”Puan Adibah cuba bagi cadangan.Sejak diberitakan oleh Muhsin yang anaknya itu mahu bercerai,hatinya tak sudah berdoa semoga tak ada apa-apa yang tak baik akan berlaku.

“Tak ada benda yang boleh dibawa berbincang dah ibu.Persetujuan dah dicapai.Sein dengan Farhah akan bercerai tak lama lagi.”

Puan Adibah mengalihkan posisi tubuhnya.Ikut hati nak saja dia tarik anaknya dan tolak masuk dalam kolam.Tayang muka selamba macam tak ada apa-apa masalah sedangkan dia baru saja buat keputusan untuk bercerai dengan isterinya.

“Hei,kau ni...geram pula ibu dengan kau nilah!”Puan Adibah mengepal-ngepal penumbuknya sambil mengetap gigi menahan rasa.

“Kau dah fikir masak-masak ke Sein?Kau jangan buat main benda kahwin cerai ni boleh tak?”

“Mana ada Sein buat main,bu.Sein serius ni.”

“Habis tu kau betul-betul nak bercerailah ni?”

“Dah itu yang Farhah nak.Sein ikutkan aje.”

“Hoi,Sein!Kau ni kalau tak fikir yang kau tu dah besar panjang,memang ibu ketuk kuat-kuat kepala tu.Bercakap ikut sedap mulut saja.Apa kata Farhah kau ikut saja,habis tu apa peranan kau sebagai suami dia?Jadi pak turut?Menonong ikut kata bini.Dia minta cerai,kau nak bercerai.Esok-esok kalau dia suruh kau terjun lombong,kau buat jugalah macam tu?Hei,ini kalau abah kau tahu ni...sampai hujung tahun kau tak tidur lena dengar tazkirah dia.Kau dah fikir habis-habis ke pasal hal ni?”

“Sein dah buat keputusan dah pun ibu.Tak ada apa yang boleh diubah lagi.”

“Hei,kepala batu betul!Dah tak ada jalan lain lagi ke nak selamatkan rumahtangga kamu berdua?Kahwin tak sampai dua tahun dah nak bercerai.Kau fikir hal kahwin cerai ni macam makan ais kacang?”

Muhsin hanya tersengih mendengar bebelan Puan Adibah seakan bebelannya itu bagaikan sebuah melodi yang membuai jiwa.Tambahan pula cuaca di luar cantik,duduk pula di depan kolam renang.Bertambahlah terbuai jiwanya.

“Ibu bercakap kau boleh sengih.”

“Tak adalah.Dengar ibu bercakap,rasa nak layan tidur kat sini.Syok!”

“Banyaklah kau punya syok.Sudah,ibu tak kira...kau pergi ambil Farhah kat rumah mak mertua kau dan bawa dia balik.Kau berdua pergi berbincang elok-elok masalah kau berdua.Selagi boleh selesai,kau selesaikan.Jadi seorang lelaki yang matang sikit Sein.Jadi manusia yang tegas.”

Muhsin sisip air lagi dari gelas lalu bersandar enak kembali ke kerusi dan menarik topi besar ke hadapan sehingga menutup keseluruhan wajahnya.Terasa indah betul kalau tidur di luar begini.

“Sein!Ibu bercakap ni kau boleh buat derk aje.”bahu Muhsin laju saja kena tampar oleh Puan Adibah sehingga dia mengaduh sakit.

“Pergilah bawa balik Farhah tu ke rumah kau orang berdua.Pujuk isteri tu...”

“Nak buat apa,bu?Buang masa ajelah.Baik lagi Sein lepak kat sini sambil dengar ibu membebel.”

“Astagfirullahalazim,Sein!Kau nak ibu campak kau masuk dalam kolam kat depan ni ke?”

“Sein sanggup kena campak masuk kolam seribu kali daripada Sein kena ambil Farhah dan bawa dia balik ke rumah Sein.”

“Apalah yang kau merepek ni,Sein?”Puan Adibah dah tayang wajah mencuka.Nak gugur jantungnya dengar kata-kata Muhsin.Ini kalau tak diikutkan rasa sabar,memang betul-betul dia buat apa yang dia canangkan sebentar tadi.

“Sein tak merepek,ibu.Sein malas nak pergi rumah mak dan hadap Farhah tu.Ibu tahulah dia tu macam mana.Lagipun,kami berdua dah bersetuju dan dah capai kata sepakat.Sein harap sangat yang ibu tak halang keputusan kami ni.Sein cuma nak buat yang terbaik untuk diri Sein.Itu aje,ibu.”sambil muka bertutup dengan topi,dia masih mampu bercakap lagi.
Puan Adibah tenung dalam-dalam anaknya lantas melepaskan satu nafas berat.

“Kau masih sayang Farhah?”

“Apa soalan macam tu yang ibu tanya pula?”Muhsin selak topinya,mencari bebola mata Puan Adibah.

“Kau sayang dia lagi tidak?”tekan Puan Adibah tapi Muhsin hanya membiarkan saja pertanyaan itu tergantung dan terus menikmati suasana damai di tepi kolam renang.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...