Tuesday 29 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 9

Sudah dua bulan berlalu. Dan dua bulan itu berlalu dengan ketenangan buat Elena. Namun setiap kali melempar pandangan ke luar tingkap, hatinya bagai menanggung suatu rasa yang dia sendiri kurang mengerti.

Elena menggolek-golekkan diri ke atas tilam empuknya. Telefon pintarnya yang terdampar di sebelahnya direnung. Bantal goleknya ditarik lalu ditekup ke muka sendiri sebelum menjerit-jerit melepas perasaan. Okey, dia tipu diri sendiri sebenarnya. Dia tidak pernah berasa tenang sejak dua bulan lalu. Sejak dia dan Tuah berjumpa buat kali terakhir.

Berkali-kali dia merengus menanggung sedikit sesal. Yalah, manalah tidak sesal. Mahu mencari Tuah untuk meminta maaf, dia tidak tahu nombor telefon lelaki itu. Rasa bodoh pun ada juga.

“Aduhai, macam mana aku nak cari dia ni? Dahlah nombor telefon tak ada, alamat rumah dia pun aku tak tahu.” bebelnya sambil mengetuk-ngetuk dahi.

“Ah, cari kat facebook la. Mesti dia ada akaun facebook.” Telefonnya dicapai dan membuat carian di laman sosial namun berhenti separuh jalan apabila dia menyedari terlalu sukar untuk mencari Tuah melalui media sosial. Mana mungkin dia jumpa. Nama penuh lelaki itu pun dia tidak tahu. Mangkuk betul la kau ni Elena!

Bibirnya digigit-gigit halus sambil membiarkan otaknya bekerja keras mencari jalan penyelesaian.

Seminit.
Lima minit.
Sepuluh minit.

“Arghhh!” Elena menjerit nyaring sambil menyembamkan mukanya ke bantal.
Elena angkat tubuh mendekati jendela. Malas mahu melayan rasa bosan yang mula bermaharaja dalam diri. Langsir diselaknya. Kemudian, dia melemparkan pandangan ke luar menikmati pemandangan malam.

Tak ada apa-apa yang menarik perhatiannya melainkan gelap pekat malam. Namun tak semena-mena saja matanya terpaku pada sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumahnya. Elena menolak tingkap dan mengamatinya. Sah, dia memang tak silap pandang! Itu kereta Tuah!

Kelam kabut Elena berlari ke bawah, buka pintu utama dan menerjah ke halaman. Namun sebaik sampai di hadapan pagar utama rumahnya, kereta tadi sudah pun menghilang.

“Tuah?” serunya bersama sisa harapan. Mangga yang tersangkut di pagar ditarik. Pagar ditolak dan dikuak lebar. Elena memandang ke kiri dan kanan. Matanya kemudian digosok-gosok. Pelik!

Memang dia nampak ada kereta Kancil berwarna putih serupa seperti kereta Tuah. Dia yakin itu memang kereta Tuah tapi kenapa boleh hilang tiba-tiba?

Dua minit dia tercegat di situ cuba merungkai misteri tersebut, kereta Ezra pula yang kelihatan.

“Aik, sejak bila jadi jaga kat sini?” sinis Ezra sebaik lelaki itu keluar dari keretanya.

“Isk, sibuk ajelah abang Ez ni!”

“Kau buat apa kat sini?”

“Tak ada buat apa-apa. Saja ambil angin. Kenapa? Salah?”

“Tak cakap pun salah. Cuma, aku hairan sikit.”

“Apa yang nak dihairankan?”

“Yalah, selalu kau asyik berkurung dalam bilik. Tiba-tiba saja malam ni…”

“Isk, apa-apa ajelah abang Ez.”

Malas sungguhlah dia mahu melayan Ezra. Daripada dia buang masa melayan abangnya itu ada baiknya dia melepak sekejap kat luar ni. Manalah tahu, kut-kut sekejap lagi dia akan nampak kereta Tuah. Kalau bernasib baik, bolehlah dia berjumpa dengan tuan punya kereta sekali.

Elena melabuhkan punggung ke atas tembok kecil di tepi pagar tanpa menghiraukan Ezra. Sila dipasang, tangan diletak ke atas paha dan duduk seperti mahu beryoga. Mata dipejam rapat-rapat sebelum telinga menangkap bebelan kecil Ezra.

“Bisinglah abang Ez ni!” protesnya. Ezra yang turut melabuhkan punggung di sebelahnya dipandang.

“Kau ni dah kenapa? Buang tebiat ke?”

“Apa pula buang tebiat? Isk… abang Ez jangan menyibuk boleh tak? Pergilah masuk ke dalam. El nak duduk sini sorang-sorang. Syuh… syuh… syuh!”

Ezra pantas ketawa melihatkan gelagat Elena yang luar alam. Macam mana dia tak fikir adiknya ini buang tebiat kalau tengah malam macam ini boleh duk bertapak seorang diri kat luar. Pelik juga sebab Elena tu bukannya berani sangat.

“Kau ni, Elena… kalau ya pun tak boleh tunggu pagi esok ke? Ini dah tengah malam. Kau tak takut ke duduk kat sini sorang-sorang?”

“Nak takut buat apa? Kiri kanan depan belakang rumah kita ni kan ada orang? Kalau terjadi apa-apa, El jerit ajelah.”

“Kalau kau jerit pun, tak ada orang yang nak datang selamatkan kau. Entah-entah diorang sambung tidur. Yalah, suara kau menjerit tu mengalahkan cik pon tahu?” Ezra mengekek ketawa sampai Elena menjeling geram. Kalau mengusik memang nombor satu si Ezra ni.

“Dah la… aku nak masuk.” Ezra bangkit sambil menjinjit beg kameranya. Namun baru melangkah setapak, dia berhenti lantas memandang Elena dengan muka cuak.

“El… aku dengar kan… rumah kosong yang kat hujung simpang sana tu…”

“Abang Ez!” Elena bangkit. Menonong dia memukul-mukul bahu Ezra sehingga lelaki itu terpaksa mengelak. Ezra tersengih-sengih sambil menutup kepalanya yang sikit saja lagi mahu diketuk Elena.

“Eh, takkan kau dah nak masuk? Kata nak lepak ambil angin. Tak sampai lima minit kau dah nak blah?” perli Ezra dengan suara yang agak meninggi. Elena berdesup masuk ke rumah tanpa menghiraukan Ezra. Ezra pula sudah ketawa berdekah-dekah melepas perasaan lucunya.

Bammmm!

Pintu bilik tidurnya dihempas melepaskan geram. Elena menghumbankan tubuhnya ke tilam sambil mengurut dada. Kecut rasa perutnya mendengarkan kata-kata Ezra tadi. Hei, macam manalah dia boleh jadi berani sangat macam tadi? Bukannya dia tidak tahu waktu sekarang dah cecah tengah malam? Macam mana kalau dia nampak bukan-bukan tadi?
Teringat tentang rumah kosong di hujung simpang jalan, terus berdiri bulu roma Elena. Huisy, menakutkan ajelah. Macam manalah dia  boleh terlupa tentang rumah kosong tersebut? Dah banyak kali sebenarnya dia mendengar cerita bukan-bukan mengenai rumah itu dan yang pasti semuanya cerita yang tidak enak didengar.

Elena menekup kedua-dua belah telinganya. Selimut ditarik sehingga menutupi keseluruhan tubuh. Badannya dah mula menggigil. Bulu romanya makin mencanak-canak naik sehingga dia hilang pertimbangan diri. Diam di dalam selimut, akhirnya Elena tertidur dalam cerah.
***

Nasi goreng cina di dalam pinggan dikuis-kuisnya dengan hujung sudu. Kopi o dalam cawan telah sejuk setelah dibiar tidak bersentuh. Umi memandang Ezra yang sedang melahap roti canai kuah banjir lalu memberi isyarat.

“Umi tak payahlah risau pasal anak perempuan umi ni. Dia tengah diet la tu.”
Ezra berhenti gelak selepas terasa kakinya disepak. Siapa punya kerja melainkan Elena. Elena menjegilkan matanya kepada Ezra. Geram. Ezra pula sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Betul ke diet, El?”

“Err… mana ada, umi. Abang Ez ni memandai-mandailah!”

“Eh, betul apa. Hari tu kau mengadu kat aku… kau kata yang kau dah gemuk. Kau nak kena diet.”

“El diet atau umi masak tak sedap?” umi kembali bertanya.

“Mana ada umi. Masakan umi la yang paling sedap di dunia.”

“Habis tu… kalau tak diet… kalau masakan umi sedap, apa pasal sejak tadi lagi duk kuis-kuis aje nasi tu?”

“Tak ada apa-apa. Perut El tak berapa sedap sikit.”

“El tak sihat ke?” dahi Elena cepat-cepat disentuh. Risau umi dibuatnya. Manalah tahu kut-kut Elena memang benar-benar tidak sihat. Kalau sakit, mahu juga dia heret anak gadisnya ini ke klinik. Namun sebaik menyentuh dahi Elena, umi tarik nafas lega. Suhu badan Elena biasa-biasa saja.

“Dia demam cinta la tu, umi!” Ezra menyampuk sehingga memaksa Elena menjegil padanya. Geram melihatkan perangai Ezra yang celopar. Ada patut dia kata demam cinta? Bercinta pun tidak, macam mana nak demam cinta?

“Abang Ez!”

 “Yalah tu. Tak nak mengaku konon!”

Ezra mengekek ketawa. Elena pula tahan geram saja dengan Ezra. Dia pandang Ezra macam semut aje sekarang ni. Rasa macam nak picit-picit. Macam nak jentik-jentik pun ada juga.

 “Umi ada kelas pukul berapa hari ni?” dia mengalihkan topik. Daripada dia panas hati melayan perengai senget Ezra, baik lagi dia bersembang dengan umi.

“Lewat sikit. Kelas umi pukul 11 pagi.” Jawab umi yang bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar di sebuah kolej swasta.

“Dengar kata kat kolej umi tu ada hari keusahawanan. Bila hari keusahawanan tu? Nanti El ingat nak pergi sana. Boleh kan, umi?”

“Hujung bulan ni. Nanti umi update dengan El kalau betul El nak datang.”

“Okey. Tak apalah umi. El nak gerak sekarang. Takut sangkut dalam traffic pula nanti.”
 Kopi dihirup sekali dua. Tangan umi ditarik lalu dicium. Begitu juga dengan pipi umi. Dicium beberapa kali lantas meminta diri. Sempat lagi dia menjeling Ezra yang sedang merenungnya dengan kening yang dijungkit-jungkit.

Elena memandu keluar dari halaman. Baru beberapa saat menekan pedal minyak, kenderaannya tiba-tiba diperlahankan. Tingkap di sebelah kirinya diturunkan. Dia memandang ke arah rumah kosong tidak berpenghuni yang terletak di hujung simpang jalan. Sekilas dia mengerling ke arah pokok mempelam di laman rumah tersebut. Semerta dahinya berkerut.

Hatinya berdegup rasa sesuatu. Kenapa dia nampak rumah kosong ini seperti telah dihuni? Ada penyewa baru ke?

Brek tangannya ditarik. Pintu keretanya ditolak lalu memboloskan diri dan mendekati pagar rumah berkenaan. Baru kali ini dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang dia nampak semalam. Kereta Tuah!

“Macam mana kereta Tuah boleh ada kat sini?”

Pin! Pin!

Hon kereta dari belakang membuatkan fokus Elena sedikit terganggu. Terlihat kereta Ezra telah berhenti di sebelah keretanya yang diparkir di tengah jalan.

“Apa yang kau buat kat sini, Elena?”  jerit Ezra lantang dari dalam keretanya.

“Tak ada buat apa-apa.” Elena sedikit cuak melihat Ezra. Kelam kabut dia kembali ke dalam kereta dan menekan pedal minyak lalu meninggalkan Ezra jauh di belakang.
Tiba saja ke persimpangan lampu isyarat tidak jauh dari kawasan perumahannya, sekali lagi dia terkejut apabila Ezra membunyikan hon yang agak panjang dan kuat.

“Isk, abang Ez!”  jerit Elena setelah menurunkan tingkap keretanya.

“Kau buat apa kat depan rumah kosong kat hujung simpang tadi?”  beria-ia Ezra bertanya.

“Tak ada buat apa-apa.”

“Tipulah. Kau skodeng hantu ek?”

Elena menjeling geram. Ada patut abangnya bergurau macam tu? Entah apa-apa!
Kalau bukan kerana dia ternampak kereta Tuah terparkir di halaman rumah kosong itu, tak kuasa rasanya dia mahu terjenguk-jenguk dan terhendap-hendap macam pencuri. Dan kalau bukan kerana dia asyik fikirkan tentang Tuah, tak kuasa dia nak tebalkan muka dan beranikan diri mendekati pagar rumah kosong itu.

“Dah la. Malas nak melayan abang Ez. El nak pergi kerja. Bye!”  sepantas kilat Elena meninggalkan kepul-kepul asap setelah lampu merah bertukar hijau.






Friday 25 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 8

Tuah, smile!” tiba-tiba saja Elena merapatkan tubuhnya di sebelah Tuah lalu merakam beberapa keping gambar mereka berdua. Elena kembali ke kerusinya dan terus membelek telefonnya tanpa menghiraukan Tuah yang sedang terpinga-pinga.

“Ambik kau. Puas hati aku!” gumam Elena sambil menekan kasar skrin telefonnya. Telefon itu kemudiannya dicampak kasar ke atas meja lalu menyedut-nyedut air yang dipesannya tadi.

What?” aju Elena dengan suara yang tertahan-tahan sebaik menyedari Tuah sedang memerhatinya tanpa suara.

“Awak buat apa dengan gambar kita berdua?”

Elena tersenyum sinis sambil terus menyedut airnya. Puas hatinya bila dapat menunjuk dan menayang kepada Zira. Sekurang-kurangya sakit hatinya sedikit berkurang sejak dia mendapat respon daripada Zira melalui laman instagramnya seminit lepas. Baru dia tahu langit tu tinggi atau rendah! Mana taknya, sejak Zira dan Azad berdamai tak habis-habis Zira mesej Elena memberitahu tentang kebahagiaannya bersama Azad. Naik jelak rasanya.

“Saja nak buat kenangan.”

“Awak upload kat instagram?”

“Tak boleh ke?”

“Tak cakap pun tak boleh.”

Elena angkat kening, capai sudu dan garfu di atas pinggan lalu menguis-nguis nasi goreng yang telah dipesannya. Seleranya langsung mati saat ternampak balasan mesej Zira. Habis nasi di dalam pinggan dikerjakannya sehinggalah tersedar lengannya dicuit oleh Tuah.

“Awak okey ke?”

“Okey kut!”

“Ya ke?”

“Yalah.”

“Betul ke ni?”

“Betul la.”

“Macam tak okey aje?”

“Isk, memang saya tak okey. Puas hati?!”

Terjegil-jegil Elena di hadapan Tuah. Sakit hati dengan Zira dan Azad pun masih belum hilang, Tuah pula sibuk duk bertanya itu ini padanya. Tak boleh ke duduk diam-diam dan habiskan saja makanan tengah harinya?

“Awak ni peliklah,” komen Tuah tanpa dipinta.

“Apa yang peliknya dengan saya?”

“Yalah. Sekejap awak okey, sekejap tak okey. Sekejap awak mengomel seorang diri, lepas tu senyum. Tak lama kemudian, awak naik angin pula. Saya ada buat salah apa-apa pada awak ke?”

Aduhai, kenapa suara Tuah tu kedengaran sangat mencairkan hati sekarang ni? Kenapa hatinya yang sedang panas ni boleh sejuk bila Tuah bertanya dalam nada prihatin macam ni?

“Tak.”

“Habis tu… kenapa?”

“Isyh, payahlah dengan awak ni. Banyak bertanya betul! Fine! Saya cerita.” sudahnya Elena mengangkat bendera putih. Membiarkan Tuah bertanya itu dan ini boleh buat hatinya yang sejuk menggelegak panas semula.

“Saya stress awak tahu tak? Stress sangat-sangat!” adu Elena akhirnya.

“Kenapa?”

“Pasal…” Elena putarkan mata dan memandang ke atas.

“Pasal kawan saya. Awak ingat tak apa yang berlaku pada saya masa mula-mula kita jumpa hari tu?”

“Oh… yang… ehem… okey… okey… saya ingat.”

Tuah berdehem. Tidak mahu menyebut dengan jelas apa yang telah berlaku dulu. Mana boleh dia lupa apa yang sudah berlaku kepada Elena dulu. Elena pula, suapkan nasi goreng ke mulut dan mengunyahnya beberapa kali lalu menelan rakus. Melepas geram dengan Zira dan Azad dengan cara mudah.

“El…”

“Hmm?” aju Elena dengan mulut yang penuh dengan makanan.

“Makan perlahan-lahan.”

Elena buat tidak tahu. Makin Tuah pandangnya, makin dia buat perangai dengan terus menyumbat sesudu demi sesudu nasi goreng ke dalam mulut. Belum habis mengunyah, dia menyedut lagi air dari gelasnya sehingga licin.

“Saya geram tahu tak? Sakit hati. Sakit jiwa. Sakit kepala. Semuanya ada. Semuanya sebab dua ekor makhluk tu la.”

“Lelaki tu ada apa-apakan awak lagi ke?”

“Tak adalah dia apa-apakan saya. Cuma… hati saya ni… sakit sangat-sangat tengok muka dia. Tak cukup dengan itu, kawan saya tu pula buat perangai entah apa-apa. Awak tahu tak… dia ada datang ke bakeri tadi sambil menangis-nangis. Dia beritahu saya yang lelaki tu nak putuskan pertunangan diorang. Tup tup… tak lama kemudian, lelaki tu muncul, buat acara pujuk memujuk… terus cair hati dia. Eee…geramnya! Geramnya!”
Tuah tergelak-gelak melihatkan gelagat Elena. Habis nasi goreng di dalam pinggannya menjadi mangsa. Berselerak dibuatnya dek perbuatan Elena itu.

“Kira okeylah tu. Diorang dah berdamai, kawan awak pun dah tak perlu menangis lagi. Habis cerita.

“Eee… nasib baiklah saya ni waras lagi tau! Kalau tidak… saya garu-garu aje muka awak dengan garfu ni!”

“El… letak garfu tu!”

“Kenapa? Awak takut?”

“Bukan takut cuma… bahaya. Turunkan garfu tu.” nasihat Tuah lalu menarik kepalanya ke belakang. Risau juga melihatkan garfu tajam sedang dihala ke arahnya. Silap-silap boleh jadi Kassim Selamat dia hari ni.

Fine!

Dada Elena berombak kencang. Dia diam untuk jangka masa yang lama.

“El… sorry kalau saya buat awak marah. Sorry kalau saya ada salah cakap.”

 “Memang salah cakap! Awak ni… memang nak menyokong lelaki tak guna tu kan? Patutnya diorang putuskan aje hubungan diorang. Tak ada guna teruskan perhubungan macam itu. Zira patutnya dapat lelaki yang jauh lebih baik daripada Azad. Apa… dia ingat orang perempuan ni barang mainan ke? Masa nak, ambil tapi bila dah tak nak, sesuka hati aje campak merata.” Elena berteriak dengan penuh perasaan. Mengingati kejadian di bakeri tadi, meluap semula hatinya. Malah rasa geram itu makin mencanak-canak naik sebaik saja dia melihat gambar-gambar yang telah dimuat naik di dalam laman instagram milik Zira beberapa minit lepas.

“Saya tak sokong atau sebelahkan sesiapa. Cuma… saya nasihatkan awak supaya bertenang dan lupakan apa yang terjadi. Rasa-rasanya, biarlah diorang berdua selesaikan sendiri masalah dia orang. Hati orang ni kita mana boleh kawal. Kalau dah diorang masih nak teruskan perhubungan tu, siapa kita nak melarang? Lagi pun, sebagai seorang kawan… saya rasa ada baiknya awak berdoa banyak-banyak supaya Allah tunjukkan jalan yang terbaik untuk kawan awak. Andai kata jodoh diorang bersama, awak kena terima.”

“Huh, saya tak boleh terima lepas apa yang terjadi. Dah banyak kali saya cakap pada Zira supaya tinggalkan lelaki tu. Awak tahukan apa yang lelaki tu dah buat pada saya? Takkan saya bodoh sangat nak biarkan kawan saya habiskan seluruh hidup dia dengan orang macam itu?” Elena menolak-nolak anak rambutnya ke belakang. Sengaja mahu menayang parut di dahi yang dihadiahkan oleh Azad dulu.

“Awak cuba tengok gambar ni,” tanpa diminta, Elena menayangkan telefonnya ke hadapan Tuah. Skrin yang sedang memaparkan gambar mesra antara Azad dan Zira dibiar menjadi santapan mata Tuah.

“Mesra bukan main lagi. Nak menayang kat satu dunialah tu yang diorang tengah bahagia. Menyampah!”

Protes Elena lagi dengan muka yang cemberut.

“Sekarang ni, saya nak tengoklah berapa lama kebahagiaan diorang tu boleh bertahan. Tapi aci kerat jari punyalah, diorang takkan bertahan lama!”

“Cara awak cakap ni macam orang cemburu.”

No, I’m not! Tak kuasalah nak cemburu bagai. Sebesar zarah pun saya tak cemburukan hubungan diorang. Kalau boleh, saya nak diorang tu berpisah sampai bila-bila. Putuskan hubungan dan bawa haluan masing-masing.”

“Tak baik tau doa macam tu.”

“Oh, awak nak kata saya ni kawan yang teruk? Macam itu?”

“Bukan macam itu… tapi awak mesti nak tengok kawan awak bahagia, kan?”

“Sebab saya nak kawan saya bahagialah saya doa semoga hubungan diorang tu cepat-cepat saja berakhir.”

“Kenapa awak tak doakan saja lelaki tu berubah? Doa semoga dia jadi seorang yang setia. Kan lebih bagus kalau macam itu?”

“Heh, mimpi ajelah! Lelaki… kalau dah pernah curang, jangan harap dia akan berubah jadi lelaki setia. Kalau dah dasar playboy, tak cukup dengan satu perempuan… tak mungkin boleh berubah jadi baik. Mati hidup semula pun belum tentu tau!” bersungguh-sungguh Elena mengutuk Azad sehingga Tuah hampir saja lagi tergelak.

“Saya rasa… makin kita bercerita hal diorang, makin buat awak panas hati. Apa kata…”  Tuah diam. Dua saat dia diam sampai Elena jadi tak sabar mahu tahu apa yang bakal keluar dari mulut lelaki itu.

“Kita berbual pasal kita, mesti awak tak akan sakit hati.”

“Pasal kita? Tak ada benda yang nak dibualkan pasal kita berdua.”
Elena geleng-geleng dan sambung makan. Nak berbual apa sangat kalau mereka pun baru saja berjumpa tiga kali.

“El…” Tuah raba poket seluarnya sambil tenung Elena tanpa lepas.

“Hmm?”

Kotak baldu berwarna biru gelap disua ke arah Elena. Elena pula hampir saja lagi tersedak. Cepat-cepat dia mencapai gelas Tuah dan menyedut-nyedut minuman itu sehingga habis. Tisu di atas meja dicapai. Bibir yang comot dikesat. Sungguh rasa macam nak tercabut saja jantungnya saat melihat sebentuk cincin berlian sedang bermain-main di ruang matanya. Angkat kepala, dia nampak yang Tuah hanya tersenyum bersahaja.

“Apa ni?”

“Elena… sudi tak kalau awak jadi isteri saya?”

“Apa awak cakap Encik Tuah?”

“Saya ajak awak kahwin. Sudi tak?”

“Apa yang awak merepek ni?”

“Saya tak merepek. Saya cuma bertanya… sudi tak awak jadi isteri saya?”
Elena merenung lama kotak cincin di hadapannya sebelum dia tergelak.

“Awak cuba-cuba nak jadi mat romeo ke macam mana?”
Tuah geleng. Mukanya serius. Seperti betul-betul memaksudkan apa yang dia beritahu tadi sedangkan Elena menganggap yang lelaki itu cuma bergurau. Mungkin untuk kurangkan bahang panas yang dah serupa lava gunung berapi di dalam hatinya.

“Tak, Elena. Saya serius ni.”

“Hello… Encik Tuah! Awak sedar tak apa yang awak cakap ni?”

“Sedar.”

“Awak tahu tak apa yang awak sedang buat ni?”

“Tahu.”

“Maigaddd!” pantas Elena meraup wajah. Langsung tak percaya dengan tindakan Tuah.

“Encik Tuah… awak jangan nak main-mainlah. Saya tahulah emosi saya tak berapa nak stabil lepas kawan saya buat hal tadi tapi awak jangan nak jadi sengal sampai macam ni. Takkan awak nak turut sama jadi emosi macam saya kut?”

“Saya tak main-main, Elena. Dan emosi saya memang stabil. Tak ada apa-apa yang sedang mempengaruhi saya sekarang ni.”

“Ya Allah… tolonglah Encik Tuah. Hal nikah kahwin ni bukan benda main-main. Saya tahu mungkin awak cuma nak hiburkan saya tapi jangan mempersendakan hal-hal besar macam ni!”

“Saya tak main-main, Elena. Saya tak pernah mempersendakan hal nikah kahwin.”
Elena mengetap bibir. Garfu di tepi pinggan dipegang dan digenggam kemas-kemas. Kalau tak ikut akal warasnya, memang dia campak saja garfu ni ke muka Tuah. Mengarut betullah mamat rambut panjang ni.

Look… Encik Tuah… awak sedar tak status kita? Kita baru kenal kut!”

“Apa salahnya? Awak bukan milik sesiapa, kan?”

“Memang saya bukan milik sesiapa tapi masalahnya… kita baru aje kenal. Baru nak masuk dua minggu.” Elena mengangkat jari telunjuk dan jari hantunya lalu mencantumnya rapat-rapat. Dua minggu kenal Tuah, takkan dia mahu bersetuju? Ini kerja gila!

“Ada orang… kenalnya dah bertahun-tahun tapi belum tentu mereka berkahwin. Ada pula orang yang baru sehari kenal, esoknya dah bertunang dan lusa terus jadi kekasih halal.”

“Ada orang pula, kahwin hari ini kemudian esoknya bercerai! Saya tak nak jadi macam itu.” Elena memangkah dengan alasan tersendiri. Gerun bila memikirkan tentang hal perceraian. Orang yang kenal bertahun-tahun, kenal hati budi masing-masing pun masih boleh bercerai berai… inikan pula mereka berdua. Ah, memang kerja gila!

“Macam mana kalau saya dapat tahu yang awak ni orang jahat?” Tuah tergelak besar selepas Elena menghabiskan ayatnya. Kelakar sungguh! Ada ke patut boleh fikir sampai ke situ. Mukanya ini nampak macam samseng ke?

“Kenapa? Awak tengok muka saya ni macam ahli kumpulan pengganas ke? Atau pun pembunuh bersiri?”

“Manalah saya tahu. Saya pun baru jumpa awak tiga kali.”

“Andai kata apa yang baru saya sebut tadi tu betul… awak nak buat apa?” aju Tuah bernada mengusik.

“Saya cucuk biji mata awak dengan garfu ni!” garfu tadi dihala ke muka Tuah dengan mata dicerun-cerunkan. Kalau Tuah berani nak takut-takutkannya, dia lagi berani untuk takutkan Tuah dengan garfu itu.

“Aduh, jadi Kassim Selamat la saya kalau gitu.”

“Huh, jangan macam-macamlah Encik Tuah!”

“Saya gurau ajelah!”
Elena sebal melihat Tuah yang sedang terbahak-bahak ketawa.

“Awak ingat benda ni kelakar? Sukalah tu ketawakan saya macam ni?”

“Saya tak cakap pun kelakar… tapi awak tu… macam mana boleh terfikir yang saya ni orang jahat? Orang jahat, tak pulangkan beg tangan mahal tau. Orang jahat tak bawa awak makan kat restoran macam ini. Orang jahat, tak ajak perempuan secantik awak kahwin.”
Elena mencebik. Eh… eh… dia ni. Masuk lif tekan sendiri!

So… macam mana?” sekali lagi Tuah bertanya. Mahu memastikan apa jawapan yang Elena akan beri.

“Saya tak nak cakap apa-apa. Saya nak balik!” kali ini, Elena bangkit mendadak. Sekarang ini, dia nampak Tuah sama seperti Azad. Sama-sama menyakitkan hati!
Kalut Tuah membayar bil makan tengah hari mereka dan bergegas mengejar Elena yang sudah menjauh. Tuah berusaha menyaingi langkahnya dan bila berjaya, beg tangan yang tergalas di bahu gadis itu ditariknya.

“Elena… nantilah dulu.”

“Awak jangan ikut saya! Saya nak balik! Ke tepi! ”

“Elena.”

“Jangan ikut saya!” Elena sudah pun menaikkan jari telunjuknya memberi amaran dan kini Tuah gagal untuk terus berada bersama Elena sehingga dia mendapatkan jawapan yang pasti.


Perlahan-lahan kepala jatuh ke bawah dan mata terpaku pada kotak cincin di tangan. Ah, bodohlah kau ni Tuah!


Tuesday 22 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 7

Elena menghempaskan telefonnya ke atas meja kaunter sambil mengerling memandang Zira dan Azad yang sejak tadi lagi berbincang. Puas Elena mundar mandir tetapi perbincangan tersebut masih belum berakhir. Hampir saja lagi Elena bergerak ke meja Zira dan Azad, dia ditahan oleh Lola.

“Saya rasa kan bos… elok bos tak masuk campur hal diorang. Biar diorang selesaikan sendiri.”

“Eee… saya sakit hati tau tak! Awak tengok tu… apa yang lelaki tu duk buat kat kawan saya. Raba sana raba sini. Agaknya dia ni memang mintak penampar dinasour saya kut!” baran Elena jadinya. Mula-mula tadi memang kononnya dia beritahu Lola tak ada apa-apa yang berlaku tapi sejak dia asyik duk membebel seorang diri, terus Lola tahu semua benda yang berlaku antara dirinya, Zira dan juga Azad.

Sakit matanya melihatkan tangan Azad sekejap-sekejap di bahu Zira, sekejap-sekejap di wajah gadis itu sebelum jari jemari mereka bersulam antara satu sama lain. Tak lama kemudian, tangan Azad naik pula menyentuh pipi Zira sehingga Elena terasa mahu muntah.
Meluat sungguh melihat perangai lelaki ini. Dia fikir bakeri ini taman bunga atau apa? Sesuka hati saja main pegang anak dara orang. Zira tu baru tunangannya. Bukannya isteri yang halal buatnya. Yang si Zira ni pun satu hal. Merelakan saja apa yang Azad buat padanya. Huh!

 “Bos, supplier kat talian!” tiba-tiba saja Lola menyuakan telefon kepada Elena. Telefon bertukar tangan dan Elena segera menyambut panggilan tersebut lalu berbual selama lebih sepuluh minit di talian. Sebaik sahaja panggilan ditamatkan, Zira pula datang mendekatinya di kaunter pembayaran dengan wajah ceria dan berseri-seri.

“El.” Zira menegur Elena dengan riak yang teruja bercampur bahagia.

“Kau okey ke? Dia ada apa-apa kan kau tak?” kalut Elena menarik tangan Zira dan memandang atas bawah tubuh gadis itu.

 “Aku okey.”

Are you sure?

Yes, 100%.” Zira menyengih menampakkan barisan giginya.

“Ermm…. El, aku dah kena gerak ni.”

“Eh, cepatnya? Tak nak tunggu waktu lunch ke? Nanti boleh lunch sekali dengan aku.”

“Tak bolehlah, El… aku kena pergi sekarang.”

“Kau nak ke mana ni?”

“Aku nak keluar dengan Azad.”

What?” serta merta darah panas menyerbu naik ke muka Elena. Dia mencari-cari kelibat Azad tetapi lelaki itu hilang entah ke mana.

“Zira… kau nak keluar dengan dia buat apa? Kau dah lupa apa yang dah jadi antara korang berdua? Dia nak putuskan pertunangan korang. Kau jangan nak mengada-ada ek!”

“Mana ada apa-apalah. Itu dua jam yang lepas. Sekarang ni, aku masih lagi tunang dia secara rasmi. Dia dah tarik balik kata-kata dia and I’m soooo happy right now!” Ujar Zira lalu mengangkat tangan kirinya dan menayang-nayang cincin pertunangannya yang masih lagi tersarung di jari manisnya.

“Eee… dasar manusia mudah lupa!” cemik Elena sebal.

Zira hanya tersenyum-senyum. Kini, dia tidak mahu mengambil peduli apa yang diperkatakan oleh Elena. Apa yang penting, dia dan Azad masih lagi bersama.

“Janganlah nak cemburu sangat, El!”

“Aku cemburu? Pffftt! Sikit pun tak. Daripada aku cemburu pada kau, lebih baik aku buat kerja.”

Zira hanya tergelak. Tanpa mempedulikan perasaan Elena, langsung dia mengucup kedua-dua belah pipi gadis itu dan beransur dari situ.

“Huh, aku tak faham dengan kau ni Zira. Dalam banyak-banyak lelaki kat dalam dunia ni, kenapa kau kena jatuh cinta dengan lelaki macam Azad tu? Useless!

Sakit jiwanya bila memikirkan tentang makhluk dua orang tu. Daripada dia sakit kepala, ada baiknya dia ke belakang dan menyambung kerja-kerjanya yang tergendala sejak tadi tetapi baru dua langkah menapak terdengar pula namanya dilaung dari pintu utama bakeri.
Elena angkat muka dan menoleh. Bagaikan sedang bermimpi saja saat itu bila melihat wajah itu sedang berada di hadapan matanya. Elena terkelu dan terkaku serta terkedu buat beberapa detik.

“Hai, El.” Tuah menegur lalu menayang senyumannya. Manis! Lagi manis daripada manisan yang ada di dalam chiller.

Tuah melangkah sambil melambai. Sempat lagi Elena mengerling pada rambut panjang Tuah yang di rebonding yang sedang beralun-alun seperti model dalam iklan syampu. Cantik dan berkilat! Syampu apa dia pakai ni?

“Ehem… ehem.” Elena cepat-cepat berdehem.

“Ya, Encik Tuah? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” geli rasanya ucapkan ayat formal begitu.

“Awak ni memang sejenis pelupa ya?”

Excuse me?

Tuah hanya tersengih. Tanpa diminta, Tuah menyuakan sebuah beg tangan berjenama mewah Dolce & Gabbana kepada gadis itu yang disorokkan di belakang tubuhnya sejak tadi.

“Apa ni?” aju Elena sedikit blur. Yalah, manalah tak blur. Tiba-tiba saja Tuah berinya beg. Mimpi apa pulalah mamat rambut panjang ni?

Handbag, I guess?

“Oh, handbag. Saya ingatkan kayu golf tadi.” balas Elena sarkastik.

“Kejap… kejap… kenapa macam pernah nampak aje beg ni?”

Yes, of course la Elena. Ini kan beg tangan awak yang tertinggal dalam kereta saya pagi tadi.”

Gosh! Macam manalah saya boleh cuai ni?” Elena menepuk-nepuk dahi sendiri. Beg tangannya dicapai dari tangan Tuah lalu memeluknya erat-erat bagai sedang memeluk anak kucing.

“Nasib baiklah awak tertinggal beg. Kalau tertinggal hati… macam mana?” aju Tuah sambil tersenyum lagi.

Aduhai, Tuah. Tolonglah jangan senyum macam tu lagi. Boleh cair hati aku ni macam ais kat kutub utara tau tak!

Elena mencebik dan menyambung adegan seperti tadi sehingga Tuah tergeleng. Aiseh, macam manalah dia boleh cuai sampai macam ni? Mujur jugalah Tuah sejenis manusia yang jujur. Buatnya spesis kaki tipu, habislah. Sudahlah dalam beg tangannya ini ada satu sampul berisi sejumlah duit yang baru saja diambil daripada seorang kliennya petang semalam.

 “Anyway, terima kasih daun keladi sebab tolong hantarkan beg saya ni.”

No problem. Benda kecil aje. Lagi pun, kebetulan saya memang nak singgah ke sini.”

“Eh, nak beli kek ke? Kalau nak beli kek, meh sini saya… boleh rekomen untuk awak.”  Elena sudah menggamit-gamit Tuah menuju ke arah cake display chiller yang mempamerkan pelbagai jenis kek yang sedap-sedap dan menarik untuk dimakan. Namun Tuah menggeleng.

“Bukan… bukan.”

“Habis tu?”

“Saya datang sini nak ajak awak lunch. Boleh tak?”

Lunch?

“Hmm. Kalau awak sudilah. Kalau tak sudi, dinner pun boleh.”

“Oh, maknanya kalau tak pergi lunch… kena pergi dinner dengan awak?”
Tuah mengangkat kening. Senyuman lawanya terpamer sekali lagi membuatkan jantung Elena bergerak pantas.

“Elena?”

“Huh?”

Ah, berangan lagi Elena! Siang-siang pun sibuk nak berangan!

“Okey… memandangkan awak dah tolong hantar handbag saya… saya terima pelawaan awak sebagai tanda ucapan terima kasih. Tapi, awak belanja makan. Boleh?”

No problem.”


Tuah menyengih. Bahagia mendengarkan persetujuan Elena.



BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...