Monday 7 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 2



“Pak cik Meon,tolonglah jangan buat kami macam ni.Bagilah kami sikit masa untuk kami cari tempat baru,”mohon Tsania bersungguh-sungguh ketika lelaki tua yang sudah berusia lingkungan umur lima puluhan itu mula mengangkat barang-barang di dalam rumah itu lalu diletakkan di luar.Pak Cik Meon menggeleng kepala keras menentang permintaan Tsania.

“Pak Cik Meon,kami janji yang kami akan bayar sewa rumah ni bila kami dah dapat gaji.Saya janji yang saya akan selesaikan semuanya sekali tapi tolong bagi masa sikit aje lagi.Tolonglah…”kali ini Imanina pula yang membuat rayuan dengan menayang wajah penuh mengharap.

Bimbang juga melihat wajah orang tua itu.Masam mencuka.Masuk bulan ini dah genap tiga bulan mereka gagal melangsaikan sewa tertunggak kepada Pak Cik Meon,pemilik rumah yang mereka diami sekarang.Sebelum ini pun ada juga sekali dua mereka terlewat bayar tapi tak adalah orang tua ini buat perangai macam ni.Entah apa kenanya angin Pak Cik Meon,tahu-tahu saja rempuh masuk ke dalam rumah sesuka hati seakan mahu mengamuk.

“Aku dah beri peluang banyak kali pada kau orang...dah banyak beri muka pada kau orang tapi apa yang kau orang dah buat?Ambil kesempatan ke atas aku.Masuk bulan ni dah tiga bulan kau orang tak bayar sewa rumah pada aku tahu tak?Dah,aku tak kira!Sekarang….aku mahu kau semua keluar dari rumah aku ni!”keras suara Pak Cik Meon.Anak matanya menikam tepat ke mata Tsania dan Imanina.Kemudian,kedua-dua gadis itu saling berpandangan sesama sendiri bagaikan mencari akal bagaimana mahu memujuk Pak Cik Meon.

“Tolonglah Pak Cik jangan buat kami macam ni.Saya rayu sangat-sangat…kalau kami keluar,ke mana kami nak tuju?Kami tak ada tempat untuk menumpang lagipun kami memang tak ada duit sekarang.Bagi masa sikit pada kami untuk selesaikan duit sewa rumah,” rayu Tsania lagi mencuba nasib.Manalah tahu kalau-kalau orang tua ini mahu bertimbang rasa.

“Itu bukan masalah aku.Sekarang ni aku mahu kau semua keluar dan bawa barang-barang ni sekali.Aku dah tak boleh tengok muka kau semua dalam rumah aku ni.Kau fikir rumah aku ni tempat kebajikan ke apa?Nak duduk free aje…kalau tak mampu nak bayar jangan disewa rumah ni…dah…dah…kau berambus aje dari rumah ni sebab petang nanti ada penyewa baru nak masuk ke sini!”tegas Pak Cik Meon lagi.

Muka masing-masing dah cemas.Panik mendengar ketegasan kata-kata Pak Cik Meon.Namun mereka semakin panik melihat kemaraan Pak Cik Meon menuju masuk ke dalam bilik mereka sebelum keluar dari situ dengan membawa beberapa buah beg dan selonggok pakaian.Beg-beg dan longgokan pakaian dicampak keluar dengan rasa bengang.

“Ini caranya nak mengajar orang macam kau semua!”tengking Pak Cik Meon dengan muka bengis.

“Pak Cik Meon,apa yang pak cik buat ni?”jerit Tsania geram sambil mara ke arah lelaki tua itu.Sifat sabarnya sudah semakin menipis bila melihat lelaki itu mahu masuk ke dalam bilik mereka lagi.

“Kau jangan banyak bunyi.Sekarang ni kau angkat semua barang-barang kau keluar dari rumah aku kalau kau tak nak aku campak keluar!”

“Tolonglah faham,pak cik.Saya dah cakap tadi yang saya akan selesaikan semuanya lepas saya dapat gaji.Janganlah kejam sangat!”Imanina melepas geram setelah Tsania diherdik tadi.

Namun tanpa disangka-sangka,lengannya ditarik kasar ke arah pintu lalu tubuhnya ditolak keluar.Sikit saja lagi Imanina hampir tersungkur ke lantai,mujurlah dia sempat mengimbangi badannya dan berpaut pada pintu pagar besi.

Selang beberapa minit,tubuh Tsania pula yang ditolak keluar dengan kasar sehingga merempuh tubuh Imanina.Seketika,kedua-duanya tergolek ke atas lantai koridor.Beberapa barang turut dicampak ke arah mereka oleh Pak Cik Meon tanpa perasaan belas.

“Sampai hati pak cik buat kami macam ni.Mana belas ihsan pak cik sebagai seorang manusia?”teriak Tsania sambil merembeskan air mata.Sedih bila orang tua itu memperlakukan mereka macam manusia tak ada hati dan perasaan.

“Dengan kau orang,aku punya belas ihsan dah habis!”mata Pak Cik Meon membulat.

“Aku bagi amaran pada kamu berdua.Jangan memandai-mandai masuk balik ke dalam rumah ni.”jeda.

“Mana kunci rumah?Bagi pada aku sekarang!”teriaknya mula nak menggila.Tangan dihulur ke arah Tsania dan Imanina tapi kedua-duanya kaku sendiri.

“Dah pekak ke?Mana kunci rumah?Bagi pada aku!”
Terketar-ketar Imanina mengeluarkan kunci dari dalam poket seluarnya setelah dia bangkit tapi belum sempat nak menghulurkan gugusan kunci pada Pak Cik Meon,teguran satu suara mematikan tindakannya.

“Apa hal ni?”spontan kesemua mereka yang berada di luar rumah memalingkan kepala ke arah Merah yang sudah tercegat beberapa meter dari situ.
Merah pandang wajah Imanina dan Tsania serta Pak Cik Meon silih berganti.Mata sempat menjeling ke arah barang-barang yang dah berselerak di luar rumah.Muka bengis Pak Cik Meon dia tekur cermat.

“Apsal ni Pak Cik Meon?Ada apa?”soalnya mula mendekati.Hati mula berdebar-debar semacam.Riak wajah tuan rumahnya nampak tegang.Tak mesra alam langsung.

 “Berani kau tanya ada apa?Hah,duit sewa rumah bila nak bayar?Dah tiga bulan tertangguh…kau ingat aku ni pusat kebajikan ke apa sampai nak kena tampung hidup kau orang semua?Kau orang ni memang tak sedar dek untunglah.Dah bersusah payah aku bagi rumah untuk dijadikan tempat berteduh,kau semua pijak kepala aku.Sudah,sekarang ni kau semua berambus dari rumah ni!Aku tak nak tengok lagi muka kau semua di sini.Faham?”ulang Pak Cik Meon seperti tadi.Tangan diletakkan di sisi pinggang dan menayang muka menggerunkan tetapi sedikit pun Merah tak rasa takut.

‘Ewah-ewah orang tua ni…cakap ikut sedap mulut aje!Tak pakai insurans ke apa?’Merah rasa nak kasi makian percuma saja pada Pak Cik Meon.Tak apa...tak apa...semua masalah pasti ada jalan penyelesaian.Masalah dengan Pak Cik Meon ni,pasti akan selesai kalau kena cara berunding.

“Nanti dulu Pak Cik Meon.Hal ni kita boleh bawa berbincang.”

“Nak berbincang apa lagi?Nak tambah hutang pada aku?Eh,tak payah.Semak aku tengok muka kau orang sekor-sekor kat sini.Aku kasi kau orang sewa rumah aku ni sebab nak duit,nak senangkan hidup dan tanggung anak bini aku.Tapi kerana kau orang bertiga,tak pasal-pasal aku kena bela biawak hidup!”sinis Pak Cik Meon.

“Pak cik…rendahkan sikit suara tu.Malu jiran-jiran tengok,”tegur Merah.

“Oh,malu dengan jiran-jiran?Habis yang kau tak bayar sewa tiga bulan tu tak ada pula rasa malu?Kau fikir aku ni suka buat amal jariah dengan bagi kau orang duduk percuma ke?Kau orang tu sepatutnya sedar diri.Masa kau orang kat rumah anak-anak yatim dulu,cikgu kau orang tak ajar ke supaya jangan menyusahkan orang?Memang dasar anak tak ada mak bapak!”

Gedebuk!

Tubuh Pak Cik Meon semerta terlayang ke belakang sebelum mencecah lantai rumah.Segigih mungkin dia cuba buka mata dan bangkit namun kepalanya terasa berat seperti ada bintang-bintang yang sedang berpusing dan menari riang di atas kepalanya.

Belum pun apa-apa,dia sempat menangkap susuk tubuh Merah yang semakin mara ke arahnya sehingga mukanya terasa pedih.Jeritan nyaring terlepas keluar dari mulut sambil menekup kepala semata-mata untuk mengelak diserang oleh Merah yang jelas-jelas sedang meletakkan buku limanya ke tubuh dan mukanya.

Perasaan Merah kacau bilau.Seperti dia sedang kerasukan setelah mendengar sebaris ayat Pak Cik Meon tadi.Angin betul!

“Kak Merah,sudah!”jeritan dan amaran Tsania dan Imanina yang berjaya menghalang Merah daripada meneruskan acara ‘mengajar’ Pak Cik Meon membuatkan Merah tersentak.Mungkin baru tersedar dari kerasukan.Tubuh kecilnya diheret menjauh.

“Ya Allah,Kak Merah.Sabarlah,kak!”pujuk Tsania.

“Nak sabar macam mana?Orang tua ni kurang ajar.Kau tak dengar apa yang dia cakap tadi pasal kita?Biar aku kasi flying kick pula ke kepala dia.Mulut macam longkang!”tengking Merah membara.Berombak-ombak dadanya menahan amarah.

“Jangan buat hal dengan Pak Cik Meon,kak.”bisik Tsania masih cuba menenangkan Merah.

“Ah,dia yang buat hal.Dia fikir kita ni apa?Anak ayam yang boleh dihalau sesuka hati?”Merah sudah menyinsing lengan baju kurungnya sehingga ke siku.Nafasnya menderu laju,dadanya nampak berombak-ombak sedang menahan gelora rasa yang membukit di hati.Memang tak puas hati dengan Pak Cik Meon.Nama saja orang tua tetapi mulut macam longkang!

“Agaknya,tak ada sesiapa yang ajar dia sebelum ni.Sebab tu mulut busuk mengalahkan bangkai!”ingin saja dia mara ke arah Pak Cik Meon yang sedang terkial-kial bangun tapi tubuhnya ditarik lagi oleh Tsania.

“Kak Merah,sudah!Memang salah kita pun sebab tak bayar sewa rumah.”

“Ah,peduli apa aku!Kalau kita tak bayar sewa sekali pun,dia tak ada hak buat kita macam ni.Dia fikir dia mulia sangat ke sampai nak halau kita macam pengemis?Dah tu selamba aje menghina kita macam kita tak ada harga diri pula.Eh,aku tak hairanlah orang macam ni!”maki Merah lagi melepas rasa.Geram sungguh dia.Melihat wajah Pak Cik Meon,terasa ingin saja dia lumat-lumatkan wajah tua itu.Tak padan dengan umur!
Sakit hati Merah makin bertambah-tambah bila tragedi di luar tadi berulang seperti pita perakam di fikirannya.Ah,kenapa semua lelaki yang ada di muka bumi ni memang berperangai macam hantu?Tak ada ke yang baik dan berhati mulia?

“Tak guna punya budak!Kau nak bunuh aku ke?”Pak Cik Meon menyeringai sambil memegang kepala.Tubuhnya terhuyung hayang.Namun dalam masa yang sama dia rasa marah dan bengang kerana maruahnya telah diinjak-injak oleh gadis ini.Tak sangka betul,gadis yang dia anggap sopan dan lemah lembut ini boleh bertindak sejauh ini ke atasnya.Darah yang mengalir di celah bibir membuatkan hatinya berdongkol geram tak sudah.Masaklah dia kalau lepas ni orang bertanya tentang luka di mukanya.Mana dia nak sorok muka?

“Apsal?Nak rasa macam mana aku belasah kau lagi?Kalau berani,cubalah datang dekat!”cabar Merah sambil menayang penumbuknya ke depan Pak Cik Meon.Sikit pun dia tak rasa takut apatah lagi gementar.

“Kurang ajar punya budak!Dulu-dulu tak ada orang ajar kau macam mana nak bercakap dengan orang yang lebih tua ke?Oh,lupa pula.Kau kan tak ada mak bapak.Dasar anak yatim!”maki Pak Cik Meon.

“Oh,kau cakap aku dasar anak yatim ya?Meh sini aku nak tunjuk sikit pada kau macam mana anak yatim macam aku ni ajar orang tua mulut longkang macam kau!”pekikan Merah bergema-gema di sekitar rumah sebelum dia menerpa ke arah Pak Cik Meon.Kali ini Merah sudah tidak peduli.Apa nak jadi pun jadilah.Tubuh kurus lelaki tua itu ditolak sebelum satu tendangan maut dihadiahkan ke perut boroi lelaki itu.Spontan tubuh itu hilang keseimbangan sebelum jatuh menyembah bumi.Pak Cik Meon menjerit kuat mengaduh sakit yang mencucuk-cucuk perutnya.

Sakitlah,bodoh!

Merah mengetap gigi bila terdengar seranah Pak Cik Meon.Dia masih belum puas.Belum sempat sesiapa berkata apa-apa,satu tamparan kuat singgah di kepala Pak Cik Meon yang terkial-kial bangkit dari lantai.Naik pening dibuatnya kepala lelaki itu dek terkena penangan Merah.Nampak saja tubuhnya kecil tetapi penangannya boleh tahan!

“Kau ulang lagi apa yang kau cakap!Aku boleh kasi kau masuk ICU terus!”jerit Merah sehingga menampakkan urat-urat di dahi.Ini kalau tak dihentikan,mahunya masuk kubur terus orang tua ni.

“Kak Merah!”Imanina menjerit,cuba menghalang tindakan Merah.Tubuh Merah ditarik ke belakang dan dipeluk erat-erat oleh gadis itu supaya Merah tidak lagi menyerang Pak Cik Meon seperti tadi manakala Tsania pula cuba membantu lelaki itu bangun.

“Kau tunggu nasib kau!Kau jaga!Aku nak pergi buat laporan polis!”bising Pak Cik Meon ketika dia sudah mula berdiri.Tangannya memegang perut yang senak dengan wajah menyeringai.

“Kau ingat aku takut?!Pergilah buat kalau kau berani!Tak guna punya tuan rumah!Pengecut!Kau tunggulah nasib kau nanti.Allah tu Maha Adil.Kau akan dapat balasan atas kata-kata penghinaan yang kau lempar pada kami.”balas Merah tak mahu mengalah.

Tak guna!”maki Pak Cik Meon ketika melintas di hadapan Merah.Kemudian,dia meludah ke lantai dengan perasaan membara tak sudah.Merah merenung mata Pak Cik Meon tajam.Sedikit pun tak gentar dengan lelaki itu.Dada masih lagi naik turun menahan marah.Penumbuk dikepal kuat tapi tubuhnya dipeluk erat dari sisi oleh Imanina dan mengunci terus pergerakannya.

“Tak guna punya orang tua.Sedap-sedap saja maki hamun orang lain sedangkan perangai dia lagi tak guna.Macam penyangak!Dengan perempuan bolehlah nak tunjuk samseng.Hei,pergi lawan dengan ketua kongsi gelaplah baru tahu langit tu tinggi atau rendah!Pengecut!”teriakan Merah membuatkan Imanina makin mengetatkan pelukannya ke tubuh Merah.Bimbang jika Merah buat tindakan di luar kawalan dan meluru ke arah Pak Cik Meon yang sudah berlalu dan melampiaskan seluruh perasaannya ke atas lelaki tua itu.
Tsania memandang Imanina lama,begitu juga dengan Imanina.Bagaikan keduanya saling bermain bahasa hati sebelum menekur wajah Merah yang masih lagi dalam keadaan marah.

“Kenapa ni…apa dah jadi?” tiba-tiba terdengar suara jiran yang mula menjengah di luar rumah.Tsania memandang Merah dan Imanina berselang seli dengan satu wajah yang tidak pasti.








No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...