Followers

Wednesday, 12 October 2016

Calon Pengantin Untuk Dipilih 6

Kertas-kertas yang berselerakan di atas meja kopi setra lantai dijeling-jeling.Punggung dihempaskan ke atas sofa berdekatan sambil menggrutu geram.Kepalanya digosok-gosok sebelm memasang silanya di situ.

“Argh,stress!”jeritnya sebal.

Kepala sudah mula berdenyut-denyut.Sakit jiwanya tiba-tiba bila memikirkan tentang hal ini.Dadanya pula naik turun menahan rasa yang mula bergelora.Rambutnya yang panjang mengurai ditarik-tariknya melepas geram.

“Argh,kenapa dalam banyak-banyak hari…hari ini juga kena jadi hari paling malang dalam hidup aku?Kenapa hari ini juga aku dapat surat cinta daripada pihak bank?Tak boleh ke tunggu tahun depan?”bebel Rara melepas keluhan panjang.

Menyesal pula rasanya bila mengenang kembali apa yang sudah terjadi dulu.Kerana taksub untuk menjalankan perniagaan,dia telah mendapatkan pinjaman daripada bank.Dan kerana terlalu percayakan rakan niaganya,perniagaan yang baru saja diusahakan lingkup di pertengahan jalan.Tak cukup dengan itu,bebanan hutang terpaksa ditanggung seorang diri.

“Rara…Rara…apa pasal kau ni bodoh sangat?Percayakan orang sampai memakan diri sendiri.Nasib baiklah rumah tinggalan arwah ibu dan abah ni tak tergadai kau kerjakan.Huh!”bebelnya sambil memandang rumah teres dua tingkat yang menjadi tempat dia berteduh sejak lima belas tahun dulu.Mujurlah rumah ini tidak digadai,kalau tidak...alamat merempat di jalanan agaknya!

Berkira-kira hendak meluahkan perasaan kepada kak long menerusi talian telefon,Rara segera batalkan niatnya itu.Mana mungkin dia mengadu pada kak long.Kakaknya itu tak boleh tahu hal ini.Lagi pun,dia tidak patut bebankan kepala kak long dengan masalah peribadinya.Kak long juga ada hal yang masih perlu diselesaikan dan dia tahu masalah kak long itu jauh lebih besar dari masalahnya.

“Nak minta tolong Suha?Oh,tidak!Minah tu pun sibuk duk struggle dengan bisnes MLM dia.Karang tak pasal-pasal dia ajak aku masuk MLM,mati aku!”terfikir untuk meminta bantuan temannya,dia menggeleng kepala.Tak nak!Tak mahu!

Sedang berfikir mencari jalan keluar,terdengar namanya dilaung dari hadapan pagar.Serta merta Rara bangkit dari sofa dan menjenguk melalui pintu gelangsar.Terjojol matanya bila melihat kelibat kak long sedang berada di luar sana.

“Mak aih,panjang betul umur kak long.Baru duk fikir pasal dia!”

“Rara,buka pagar ni!”jerit kak long sambil menggoncang-goncang pintu pagar yang seperti mahu roboh itu.Haih,ganas betullah kak long ni.Kakak siapalah tu?

“Kejaplah,kak long.”teriak Rara semula sambil mencapai gugusan kunci di belakang pintu.

“Terhegeh-hegeh betullah kau ni.Kau buat apa kat dalam tu?Membuta ke?”aju kak long dengan suara petirnya.Tersengih-sengih Rara dibuatnya.
Memandang kak long yang sedang berpayung,buat dia jadi mahu ketawa.Sunggu,rupa kak long persis dara pingitan saja.

“Tersengih-sengih tu ada apa?”

“Tak ada apa-apa.Lawa kak long hari ni?Dari mana?”ajunya saat mengekor kak long masuk ke dalam rumah.

“Dari bank…pergi masukkan duit simpanan ke dalam akaun Aatif dan Azreel,”jawab kak long.

“Pergi bank aje?Melawa bukan main.Tak kerja ke?”

“Cuti.”balas kak long seraya mengipas-ngipas wajahnya dengan tudung yang dipakai.
Elok masuk ke ruang tamu,mulut kak long sudah melopong bila melihat keadaan ruang tamu tersebut yang sudah tunggang langgang serupa dirempuh tsunami.

“Apa yang dah terjadi dengan rumah ni,Rara?Kau dah buat apa ni?Kena landa rebut taufan ke?”

Rara menyengih-nyengih sambil mengangkat tangan dan menayang isyarat peace kepada kak long.Kemudian,kelam kabut dia mengutip majalah,buku-buku serta surat-surat yang berselerakan di atas lantai lalu mengemaskan meja kopi.

“Biasalah tu,kak long.Orang bujang katakan.”

“Orang bujang konon!Nama saja duduk seorang diri tapi rumah bersepah-sepah serupa macam duduk sepuluh orang.Hesy,rumah mat bangla kat depan sana pun lagi kemas dari rumah ni tahu?”

“Alaaa…apa kak long ni?Ada patut samakan rumah ni dengan rumah mat bangla tu pula.”protes Rara sambil mengerut-ngerutkan keningnya.

“Dah memang itu kenyataannya!”

“Yalah…yalah…orang kemaslah ni.Errr…kak long nak minum apa-apa tak?”ajunya sekadar mahu mengubah topik.Jika dia membiarkan kak long membebel-bebel entah isu apa pula yang kakaknya itu akan sentuh.Silap-silap pasal isu negara.Kan naya macam tu!

“Apa-apa ajelah.”

“Okey…orang buat air kosong ajelah.”

“Amboi!”

“Jimat gulalah,kak long!”Rara ketawa dan berlalu ke dapur.

“Huh,perli aku la tu!”juih kak long sambil menjeling geram.

***

Rara menekan-nekan papan kekuncinya dengan kasar sambil melepas rasa bengang.Mahunya tak bengang.Sudah beberapa kali apa yang ditulisnya di komputer ribanya itu dipadam dan ditaip semula.Tak sampai lima saat,dia padam semula.Geram bila ayat-ayat yang dikarang seperti tunggang langgang.Malah tatabahasa serta ejaan yang mudah pun dia boleh silap.Tak cukup dengan itu,moodnya untuk terus menulis dan mengait idea pada malam itu terbang melayang seperti layang-layang ditiup angin.

Rara bangun dan meregang-regangkan otot tubuhnya.Sejak lepas Isyak tadi sehinggalah ke jam dua belas tengah malam,dia hanya duduk di meja kerjanya sambil menulis.Mahunya punggung tak terasa kebas malah tengkuknya juga sudah terasa sengal-sengal.
Mahu tidur,mata pula tak mahu lelap.Sejak dia mula menulis tadi,sudah lebih tiga cawan kopi yang dibedalnya.Sudahnya,dia segera menuju ke birai katil dan menghenyakkan punggung ke situ.Telefon bimbit yang terdampar di tengah katil dicapainya.

Kemudian,beberapa folder dibuka lalu berhenti pada satu imej yang memaparkan gambar keluarga.Terpamit rasa rindu yang tidak berpenghujung kepada kedua-dua ibu bapanya.Terasa masa bagaikan terlalu cepat bergerak sedang gambar itu adalah gambar terakhir yang diambil sebelum kematian kedua-dua orang tuanya kira-kira sepuluh tahun dulu.Menekur ke segenap wajah ibu bapanya,dia lalu melarikan bebola mata ke wajah milik kak long.Melihat wajah kak long yang masih remaja ketika itu,dia jadi galau sendiri.Ah,kenapa dia masih teringat-ingat akan apa yang diperkatakan kak long siang tadi?Semua ini silap diri sendiri jugalah agaknya.Manakan tidak,siapa suruh dia sepah-sepahkan surat-surat daripada pihak bank sehingga kak long terjumpa.

Puas dia menadah telinga mendengar ceramah percuma kak long.Berbakul-bakul nasihat dan bebelan yang kak long beri.Hampir saja lagi dia berlari keluar rumah ketika wanita itu sedang menasihatinya namun demi hormat,dia tahankan saja.
Skrin telefon bimbitnya disentuh.Wajah ibu dan abahnya direnung.

“Kalau ibu dan abah hidup lagi…dah tentu hidup aku tak huru hara macam ni.Kalau ibu dan abah masih ada…aku pasti tak akan dengar kak long berleter pada aku macam siang tadi.”Rara pasang sengihan kecil.

Kadang kala melihat kesungguhan kak long marahkannya,dia jadi rindu untuk tinggal sebumbung dengan kakaknya itu.Tapi,mahu buat bagaimana bila kakaknya itu telah berkeluarga.Lagi pun,kak long sudah memiliki sebuah rumah yang dibeli hasil dari titik peluhnya yang terletak tidak jauh dari tempat kerjanya.Walaupun berulang kali dia memujuk kak long kembali tinggal di sini,wanita itu tetap menolak dengan beralasan yang Rara harus berdikari.

Rara tahu…kak long tidak mahu kembali ke sini bukan semata-mata sebab itu saja.Tapi lebih kepada tidak mahu membiarkan Rara melihat drama yang sedang berlaku pada keluarga kecilnya.Bukannya dia tidak tahu,bekas suami kak long iaitu Nadim sering datang ke rumah kakaknya itu dan mengugut macam-macam.Geramnya pada Nadim makin mencanak-canak sejak kes cerai kak long bersama lelaki itu selesai beberapa bulan lepas.Malah semakin geram bila kak long tanpa sengaja telah membuka cerita perihal Nadim yang sering menghuru harakan hidup kak long dan anak-anaknya sejak akhir-akhir ini.

“Haih,apa masalah si Nadim tu?Kalau kebanyakan perangai lelaki macam dia…tak kahwin la aku macam ni.Lebih baik aku hidup membujang.Walaupun banyak hutang,sekurang-kurangnya aku tak perlu makan hati berulam jantung!Huh!”bebel Rara melepas rasa bengang.

Menyebut-nyebut perihal hutang,meremang terus bulu roma Rara.Isk,apa pasal dia rasa seram sangat ni?Macam mana dia mahu melangsaikan hutang yang dah makin membukit tu?Macam mana kalau tiba-tiba saja malaikat maut mencabut nyawanya sebelum dia sempat melangsaikan hutang piutangnya?Apa dia nak jawab di depan tuhan nanti?

No comments:

Post a Comment