Thursday 27 October 2016

Calon Pengantin Untuk Dipilih 7

Bunyi yang datang dari iPhone begitu memekakkan telinga.Bingit!Carl menarik bantal dan tekapkan ke mukanya sebelum menyorokkan kepalanya di bawah bantal tersebut.Lenanya mendadak terganggu malah mimpi indahnya juga lenyap begitu saja.Ah,siapa pula yang telefon dalam waktu begini?

Carl tarik bantal dari muka dan menjeling ke arah iPhone yang tersadai di atas meja kecil sebelah katilnya.Skrinnya menyala-nyala malah bunyinya juga turut melantun-lantun kuat minta dijawab.Carl capai iPhone dalam keadaan malas sambil mendengus-dengus tapi bila dia ternampak nama Samiha tertera di skrin,cepat-cepat dia menjawab.

“Ada apa,kak ngah?”suara seraknya sudah cukup membuktikan yang dia tidak cukup tidur.

“Kau tidur ek?”

“Kak ngah kacau Carl pagi-pagi ni ada apa?”

 “Pagi apanya Carl?Matahari dah terpacak atas kepala pun!”suara bising Samiha dari dalam talian membuatkan Carl membuka matanya seluas-luas yang mungkin lantas menghantar pandangan ke arah jendela.Gelap.Memang langsir tebal yang tergantung di sekeliling bilik peraduannya itu membuatkan biliknya sentiasa bergelap.

“Pukul berapa?”aju Carl semula tanpa memandang ke arah jam di dinding.

“12.45 tengah hari.”

Carl bangkit sambil garu-garu kepalanya.

“Carl,dah bangun atau belum ni?”

“Ya,dah bangun.”

“Pagi tadi solat subuh atau tidak?”

“Solat la,kak ngah.Kan solat tu amalan wajib bagi setiap umat Islam?Kak ngah call ni ada apa?”selimut tebal diselak sambil menjuntaikan kaki ke bawah.Tak sedar langsung yang dia sudah terlajak tidur sehingga tengah hari.Ini semua gara-gara dia balik lewat malam tadi menghabiskan masa di gim.Mujurlah dia tak terlepas solat subuh tadi.

“Kak ngah call sebab nak ingatkan adik kesayangan kak ngah ni supaya jangan lupa atau buat-buat lupa tentang majlis makan malam hari ni.”

Terbuntang mata Carl dek mendengar penjelasan Samiha.Majlis makan malam?Hari ini ke?

“Malam ni ke?”

“Yalah.Kak ngah cuma nak ingatkan kau aje.Bukannya kak ngah tak tahu yang kau tu asyik sibuk dengan urusan kerja.Hari cuti macam ni pun kau kerja.Entah bila nak cuti pun tak tahulah.”bebelan Samiha dari dalam talian membuatkan Carl melepaskan tawanya.
Carl garu-garu keningnya sambil memikir apa sebenarnya aktivitinya malam nanti.Tak semena-mena saja dia tepuk dahi setelah menyedari yang malam nanti dia ada kelas zumba di dataran.

 “Kak ngah...Carl baru teringat la.Malam nanti Carl ada kelas zumba.Rasanya tak boleh datang majlis tu kut?”

“Kau jangan buat hal,Carl.Kau nak mama bising ke?Kak ngah tak kira,apa nak jadi pun jadilah yang penting kau datang rumah mama dan ayah.”

“Tapi Carl...”

“Batalkan semua urusan kau.Datang juga ke majlis malam nanti kalau kau tak nak timbulkan masalah dengan mama.”

Carl rasa nak menjerit kuat-kuat bila Samiha asyik mendesaknya agar dia balik ke rumah keluarganya.Carl dekati jendela dan menyelak langsir tebal.Tiba-tiba saja matanya tersilau dek panahan mentari yang cukup garang di luar sana.

“Kalau Carl tak datang juga?”

“Kau tanggunglah akibatnya nanti.”

Carl gelak sinis.Mendengar amaran Samiha buat dia rasa hampir nak meledakkan kemarahannya saja.Dia tahu apa agenda keluarganya malam nanti.Dah tentulah nak memperkenalkan calon pengantin buatnya.Teringat tentang kata-kata ibunya tempoh hari yang kononnya mahu memperkenalkan dirinya dengan anak kenalannya yang baru pulang dari luar negara sekiranya mahu dirinya dimaafkan atas kesalahan dulu.

 “Carl,are you there?”suara Samiha naik seoktaf bila Carl hanya menyepi.

“Hmm.”jawabnya mahu tak mahu.

“Datang tau,Carl.”

“Tengoklah macam mana nanti,kak ngah.Carl tak boleh janji la.Ada kerja penting.”

 “Kak ngah tak kira,pukul 8 malam ni Carl mesti dah ada kat rumah mama dan ayah.Urusan kerja tu tolak tepi.Kerja ni sampai mati pun tak akan habis.”

“Tengoklah macam mana sebab Carl memang tak boleh janji.”

“Isyh,susahlah cakap dengan adik yang keras kepala macam ni!”serentak melepaskan suaranya,Samiha terus matikan talian meninggalkan Carl terkebil-kebil sendirian.
iPhone dipandang lama sebelum dahinya berkerut-kerut.

“Ya Allah…kakak aku ke tu?Kenapa rasa macam mak tiri aje ni?”

Carl meramas-ramas rambutnya sambil mendengus-dengus melepas seluruh perasaannya.Kacau bilau sungguh hatinya bila hal calon pengantin disebut-sebut kepadanya.Naik muak dia mendengarnya dan bertambah muak bila dia terpaksa ke rumah keluarganya malam nanti jika tidak mahu kena bambu selepas ini.

“Haih,bosan betul!Tak habis-habis dengan calon pengantin.Mama ni pun satu…tak boleh ke kalau aku kekal membujang buat masa ni?Teringin sangat nak menantu perempuan…dah kenapa?”

Berlama-lama di tepi jendela sudahnya Carl bergerak mendekati katil lalu mencampakkan saja iPhone ke situ.Baju ditanggalkan.Tinggal seluar pendek yang membalut tubuh.
Cermin besar yang melekat di dinding dalam biliknya di dekati sambil menekur cermat diri sendiri.Tubuh sasa serta otot-otot pejal yang menghiasi tubuh badannya cukup indah di pandangan mata.Malah six pack yang nampak cantik dan sempurna yang terdampar di atas perutnya membuatkan pesonanya semakin menyerlah sebagai seorang lelaki maskulin.Wajah kacak miliknya juga diperhati.Ternyata,rupa paras yang menawan yang dimilikinya membuatkan dia merasakan yang dia cukup sempurna sebagai seorang lelaki malah perasaan itu semakin kuat bila hatinya bergendang hebat mengatakan dia perlu bergandingan dengan seorang wanita sempurna yang setaraf dengannya.

“Calon pengantin pilihan mama pasti tak akan memenuhi piawaian aku.Aku tahu cik serba sempurna tu wujud.Aku yakin yang dia wujud cuma aku saja yang kena bersabar.Aku akan pastikan yang dia akan jadi milik aku satu hari nanti.Calon-calon pengantin pilihan mama semuanya boleh blah!”Carl menyengih menampakkan barisan giginya sambil melurut-lurut dagu.
***

Rara mengemaskan rambutnya yang ditocang kuda sebelum membetulkan anak-anak rambut yang berjuntaian di hadapan.Wajahnya yang kosong tanpa solekan ditatap sekilas di cermin sebelum dia mencapai beg silangnya dan kunci rumah.Buru-buru dia keluar dari rumah dan mengunci pintu pagar hadapan.

Sesekali perutnya yang terasa semacam dipegang.Sejak pagi lagi perutnya meragam.Itu berlaku gara-gara kerana dia tidak bersarapan malah sehingga kini sebutir nasi pun tak masuk lagi ke perutnya.

Salah diri sendiri bila sejak subuh tadi sibuk sangat dengan kerja-kerja menulis.Berjam-jam dia bertapa di depan computer riba mencurahkan segala idea yang bertakung dalam kepalanya sehingga terlupa waktu makan.Sedar-sedar saja dah hampir tengah hari.Dek kerana barang dapur pun dah habis dan yang tinggal hanyalah mee segera serta beras yang cukup untuk sehari dua,dia akhirnya membuat keputusan untuk makan di luar.Kemudian,lepas makan tengah hari dia bercadang mahu singgah ke perpustakaan awam untuk mencari maklumat mengenai manuskrip novelnya.

Sedang elok merangka-rangka apa yang perlu dikerjakan setelah selesai urusannya di perpustakaan,telefon bimbitnya melalak tiba-tiba.Kelam kabut dia mengeluarkannya dari poket jeans sebelum merenung skrin telefon.Membuntang matanya setelah nampak nama Cik Nana tertera di situ.

“Ya,Cik Nana.Ada apa?”soal Rara kepada penerbit bukunya.

Still on progress,Cik Nana.Hmm?Nak jumpa saya?Bila?”

Hati Rara mendadak diserbu rasa debar yang bukan sedikit.Keinginan Cik Nana yang mahu bertemu denganya membuatkan darah gemuruh mula naik ke muka.Aiseh,masaklah dia!

Pooooonnnnnnn!

Rara hampir saja melatah malah jantung juga seakan-akan tiada denyut dek terkena kejutan maha hebat.Telefon bimbit dalam pegangan serta merta terjatuh ke bawah dan kakinya terpaku kukuh atas jalan tar.Matanya membulat merenung ke sebuah kereta mewah lagi berkilat berwarna biru gelap yang hanya beberapa inci dari dirinya.

“Woi,nak mati bunuh diri ke?”suara garau milik si pemandu kereta mewah menyapa kasar gegendang telinga Rara.

Dia hanya terpaku.Bukan kerana terpukau dengan wajah tampan pemilik kereta berkenaan tetapi terkedu dengan jerkahan yang julung kali dia terima daripada seseorang yang tidak dikenali.

Rara mengurut-urut dada sambil mengomel perlahan.Baru dia menyedari sebenarnya dia sudah pun berada di tengah-tengah jalan.Ah,nasib baik tak mati kena langgar sampai jadi lempeng.Kalau tidak,dah selamat sejahtera hidupnya agaknya.

Sorry...sorry...sorry.”jawab Rara sambil mengutip telefon bimbitnya di atas jalan.Sekali dengar dah macam lirik lagu kumpulan popular dari Korea Selatan saja.

Sorry…sorry…kau fikir dengan sorry kau tu…kau boleh buat sesuka hati?Mata tu letak kat mana?Kepala lutut?Tak reti nak pandang kiri kanan dulu ke?”sergah si pemandu dengan mulut tanpa tapisnya.

“Amboi…cantiknya budi bahasa?”gumam Rara lebih kepada mengumpul semangat yang terbang melayang tadi.

“Saya minta maaf.Saya tak sengaja.”

“Lain kali,buka mata luas-luas.Jangan nak menyusahkan orang lain.Dah…ke tepi!”jerkahnya lagi tanpa silu.Selamba saja dia menekan-nekan hon memberi amaran kepada Rara dengan wajah yang menyinga.

Rara mencerunkan matanya ke arah si pemandu.Sakit hatinya tiba-tiba bila dijerkah-jerkah di kawasan umum sebegitu rupa.Apa…dah tak ada adab sangat ke lelaki ini?Rupa dah elok,pakai kereta mewah tapi budi bahasa out!Langsung tak boleh dijadikan calon suami!Huh!

Melihat si pemandu yang sudah meninggalkannya bersama kepul-kepul asap keretanya buat Rara menjadi geram.Terasa mahu saja dia ketuk kuat-kuat kepala lelaki itu.

“Hoi,mamat berlagak!Lepas kau sound aku,kau main blah macam itu aje?Tak gentleman langsung!Harap muka aje handsome,badan ketak-ketak,pakai kereta mewah tapi perangai langsung tak handsome!Samseng jalanan pun tak buat perangai macam kaulah!”cemuh Rara sambil menyepak angin.Mata masih lagi tertala ke jalan,menghala ke arah yang digunakan oleh si pemandu tadi.

“Kau ni,kalau aku jumpa lagi...siap kau!Aku lumat-lumatkan kau,” jeda.

“Tapi dalam novel aku ajelah.”Rara menyengih.Segera watak hero garapannya menujah fikiran.

“Wah,idea ni...idea...mamat muka handsome,sado dan kaya yang berlagak macam Rykal.Sounds great!”dia bersorak sendiri di tepi jalan.Dah tak peduli pada orang keliling yang mungkin dah pandang-pandang bila dia buat aksi lompat seperti pemenang pingat emas Sukan Komanwel.

Buku nota dan pen di dalam beg silangnya segera dicapai dan mencatat seberapa banyak idea yang singgah di kepala.Bimbang jika dia terlupa bila balik ke rumah nanti.Idea begini bukannya akan berulang banyak kali.Elok selesai mencatat,baru Rara teringat sesuatu.

“Mak oi,Cik Nana!”dahi ditepuk kuat sebelum membelek telefon bimbitnya.Nombor Cik Nana dicari dan membuat panggilan lalu menyambung semula perbualan yang terputus tadi.

***

Carl menghentakkan stereng keretanya sejurus saja dia menanggalkan kaca mata hitamnya.Mulutnya sejak tadi lagi tak sudah-sudah mengomel,menyumpah-nyumpah serta membebel yang bukan-bukan.Sengaja nak melepaskan bara yang tercetus dalam hatinya.

“Aku tak tahulah apa masalah orang dalam dunia ni?Ada mata,tapi letak kat lutut.Ada otak tapi tak nak guna dengan betul.Lepas tu menyusahkan semua orang.Nasib baiklah aku tak rempuh aje kau tadi!Kalau tidak,tak pasal-pasal jadi kes polis.Urghhh,menyusahkan orang betul!”hambur Carl lagi sambil mendengus-dengus.

Geramnya tak usah dikira.Memang menggunung tinggi seperti Gunung Everest.Entah kenapa,selepas didesak untuk pulang ke rumah keluarganya dia jadi bengang dengan semua orang perempuan termasuklah perempuan yang hampir dirempuhnya tadi.

Careless!Macam manalah kau berjalan tadi?Sibuk bercakap di telefon dengan boyfriend la tu!”stereng diketuk sekali dua sebelum menyangkutkan siku kanannya ke birai tingkap sambil mengusap-usap dagu.

 “Harap-harap,bakal isteri aku nanti bukan macam perempuan tadi.Kalaulah calon pengantin aku spesis macam dia,aku rasa akulah lelaki paling malang di dalam dunia,”cemuh Carl tanpa bersalah lalu menekan pedal minyaknya sehingga rapat dan melajukan kenderaannya menuju ke The Zone.

Sebaik dia tiba di perkarangan The Zone,mata Carl tiba-tiba saja terhala ke arah sebuah restoran tidak jauh dari situ.Hatinya jadi berdebar lain macam saat terlihat Safa iaitu salah seorang jurulatih kecergasan yang berkhidmat di The Zone sedang berbual-bual dengan seorang gadis di hadapan pintu restoran tersebut.Tidak pula dia nampak wajah gadis berkenaan memandangkan si gadis sedang membelakangkannya tetapi dia yakin dia seperti mengenalinya saja.Terburu-buru mahu menghampiri Safa,gadis tadi sudah pun menghilang.

“Kau berbual dengan siapa?”aju Carl dengan nafas yang sedikit mengah.Matanya turut diliarkan ke sekitarnya bagai sedang mencari-cari si gadis namun Safa pula dah berkerut kening.

“Kenapa?Ada yang tak kena ke?”

“Oh,tak ada apa-apa cuma…rasa macam kenal.Klien gim ke?”

Safa menggeleng-geleng sambil menyengih.

“Tak.Kawan aku.Kau tak kenal.”

“Ya ke?”

“Isyh,kau ni kenapa?Serius bukan main.Kau ada masalah ke?”

Carl meraup-raup wajah sambil melepas nafas panjang.Mungkin saja disebabkan tekanan,otaknya seperti gagal berfikir dengan baik.

“Tak ada apa-apa.Kau dah lunch ke?Kalau belum lunch,jom makan dengan aku.Aku belanja.”ajak Carl.Gadis tomboi tersebut tergelak.


“Aku dah lunch dengan kawan aku tadi.Tak apalah…aku nak masuk gim.See you!”Safa menampar bahu Carl dan berlalu begitu saja.Carl pula melemparkan pandangannya ke sekeliling.Betul ke yang tadi tu kawan Safa?Tapi kenapa dia rasa seperti dia benar-benar mengenali gadis tersebut?

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...