Monday 14 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 5

Kerja kemas mengemas barang-barang serta pakaian berlangsung sejak setengah jam yang lalu.Bila memikir-mikirkan apa yang berlaku siang tadi buat muka Merah panas membahang.Ah,rasa nak menyorokkan muka di dalam mangkuk tandas saja.

“Adrian tu baik,kan?”suara Imanina mencantas lamunan Merah.

Dia panggung kepala dan memandang Imanina yang sedang duduk bersila di atas katil bersaiz king di dalam bilik utama kondo milik Adrian yang mereka duduki sekarang.

“Kau rasa dia baik ke?”duga Merah sengaja.

“Mesti la baik.Kalau dia jahat,tak adanya dia buat semua ni.Kak Merah tu aje yang fikir bukan-bukan.Suka sangat bersangka buruk pada orang yang dah tabur budi pada kita.”

“Mula-mula memang tabur budi lepas tu tergadai body.Kau nak ke jadi macam tu?”Merah dah mula menyeringai ke arah Imanina.Kalau tak ikutkan rasa malunya yang masih tersisa,memang dia dah bangkit dan cubit-cubit mulut adiknya itu.Suka sangat bercakap tanpa berfikir panjang.

“Hisyh,choi!”

“Betul apa Nina cakap tu,Kak Merah.Nia rasa Adrian tu memang betul-betul baik.Kak Merah janganlah bersangka yang tidak-tidak pada dia.”

“Eee…kau orang ni kan!Sakit hati aku kalau bercakap dengan kau orang berdua.Aku ni,kalau tak fikirkan pasal kau orang,memang aku buat gamble blah dari sini aje tadi tau tak?Tak kiralah nak merempat kat mana pun asalkan aku tak masuk dalam mulut harimau!”

“Kalau tak masuk dalam mulut harimau,mungkin masuk dalam mulut buaya.”cebik Imanina.

“Relaks la,Kak Merah.Kita ni patut bersyukur sebab berjumpa dengan orang macam Adrian tu.Kalau tak ada dia,tak tahu la kat mana kita nak tidur malam ni.Entah-entah tidur kat masjid.Kalau tak masjid pun silap-silap kat stesen bas.”Tsania jawab untuk meredakan perasaan Merah.

Mendengar apa yang Tsania baru tuturkan,dia langsung diam.

“Ya,aku bersyukur sebab dia dah tolong kita tapi kita tetap kena berhati-hati dengan orang yang baru dikenali.Kita tak tahu apa niat dia.”

“Tak apalah,kak.Sekurang-kurangnya buat masa ni kita selamat.Apa yang penting,kita sama-sama berdoa semoga keselamatan kita terjamin dan tak ada perkara buruk yang menimpa kita.”nasihat Tsania masuk ke telinga Merah dan terus meresap ke dalam hati.

Ya,ada betul juga apa yang Tsania kata tapi dia tetap kena berhati-hati dengan orang terutamanya seorang lelaki!

 “Kak Merah,lepas ni kita pergi beli makanan ya?Dalam dapur tu tak ada satu barang pun boleh dibuat bahan masakan.Air tin adalah.Sejak tengah hari tadi tak makan,perut pun dah berbunyi-bunyi ni.”Tsania kata ketika dia baru saja menutup pintu almari yang berada di hujung bilik.

“Okey.”balas Merah tanpa perasaan.Entahlah,sejak dia membuat keputusan untuk menerima pelawaan Adrian siang tadi untuk tinggal di sini,hatinya langsung tak senang.Banyak benda yang bermain-main di fikirannya.

 “Nina malas nak keluarlah.Kau orang ajelah yang bungkuskan untuk Nina ya.Nak tidurlah,ngantuk!”ujar Imanina yang baru nak melangkah mendekati bilik air.

“Ewah,sedap aje kau nak tidur…ah,tak aci…kalau nak makan kau mesti ikut kita orang pergi beli makanan.”tegur Tsania sambil menjegilkan matanya.

“Hisyh,berkira!”balas Imanina semula.Selang lima minit,dia keluar dari bilik air lalu terus  mencampakkan dirinya ke katil beralaskan tilam empuk bersaiz king yang akan menjadi tempat peraduan mereka untuk pertama kali di sini.Rasa nikmat menjalar ke segenap rongga sendi tubuhnya setelah berjaya menggolek-golekkan diri ke kiri kanan tilam.Kemudian,dia menguap besar dah macam beruang gayanya lantas memejamkan mata serapat-rapatnya.Tsania yang menyaksikan gelagat Imanina hanya mencebik dan Merah ikut menggeleng kepala.

“Kak Merah!”sapa Tsania setelah agak lama bilik itu sunyi sepi.

“Ada apa?”

“Fikir apa?”

“Kau rasa?”kening terjungkit sebelah.Wajah Tsania dipandang sekilas.

“Pasal Adrian?”

“Heh,dah tahu tanya lagi.”

“Alah,sudah-sudah la tu Kak Merah.Tak payah nak kusutkan kepala fikir bukan-bukan.”

“Aku tak senang hati la,Nia.Setiap saat aku terpaksa fikir pasal apa yang dah jadi ni.Hati aku ni tak tenang selagi aku tak yakin yang Adrian tu bukan orang jahat.Kau tahu tak,sepanjang hari ni…dah berapa ramai lelaki yang cari pasal dengan aku.Kau ingat senang-senang saja aku nak percaya Adrian?”

“Kan Nia dah cakap,kita doa dan serahkan semuanya pada Allah.Insya Allah,pasti Allah akan melindungi kita.Setiap yang berlaku tu dengan keizinanNya,kak.”nasihat Tsania terus membuatkan hati Merah sedikit sejuk.

“Okey…let say yang Adrian tu memang orang baik,jujur dan ikhlas.Macam mana la kita nak bayar balik semua duit dia tu?”

Amende la Kak Merah ni.Kalau dia jahat sekali pun,memang kita kena bayar balik duit dia.Lagi pun,hutang tetap kena bayar walau tak dituntut.Dah lupa ke?”

“Ya,aku tahu hutang wajib dibayar tapi…”makin kusut kepala Merah bila bercakap soal hutang.Naik semak fikirannya dengan hal tersebut.

“Relaks la.Benda tu kita boleh bincang dan cari jalan penyelesaian.Kak Merah tu kena la cepat-cepat cari kerja dan Nia pun kena kerja keras untuk cari duit.Dah selesai pasal hal kerja,baru la kita boleh fikir macam mana nak bayar balik duit Adrian.”

“Aduhai,pening aku fikir pasal kerja.Entah bila agaknya aku nak dapat kerja tetap ni.Aku ingat dah grad dan dapat ijazah,senang la nak cari kerja tapi rupa-rupanya lagi susah!Silap-silap aku terus kerja kat pasaraya tu sampai ke tua!”bebelan Merah membuatkan Tsania tergelak.

“Kak Merah ni tak reti bersyukur betul!Sekurang-kurangnya Kak Merah masih ada gaji walaupun kerja kat pasaraya.Insya Allah,bila ada rezeki nanti ada la tu.Nia yakin Kak Merah pasti akan dapat kerja tetap yang sesuai dengan kelayakan Kak Merah.Sabar aje la.”gaya Tsania memberi nasihat membuatkan Merah tersedar.

Alahai,apsal dia jadi manusia yang tak reti nak bersyukur ni?Cepat-cepat dia beristighfar dalam hati.

“Kak Merah,sakit lagi tak tangan tu?”soalan Tsania terus membuatkan Merah menekur tangannya yang mempunyai luka kesan daripada mencederakan Pak Cik Meon siang tadi.

“Boleh la.”

“Berani mati betul la Kak Merah ni.Nasib baik la tak masuk hospital orang tua tu dikerjakan Kak Merah.”

“Kalau masuk ICU lagi aku suka.Padan muka dia.Mulut macam longkang,patut dikaki-kakikan aje orang macam tu.Kalau tangan aku nak berdarah teruk pun tak apa asalkan aku puas hati sebab dapat letak penumbuk aku ni ke muka orang tua tu.Baru dia tahu langit tu tinggi atau rendah!”Merah menghembus-hembus penumbuknya dengan muka menahan geram.Kalaulah tak ada Imanina dan Tsania tadi rasa-rasanya dah teruk Pak Cik Meon kena pukul dengannya.

“Langit tu memang tinggi tapi Kak Merah tu kena la beringat-ingat sikit.Kalau marah,dah macam gangster mengamuk.Lain kali cuba bawa bertenang,jangan nak gunakan tangan dan kaki untuk selesaikan masalah.Tahu la Kak Merah tu pernah belajar silat dulu,tapi jangan sampai menyusahkan diri.”

Merah pandang wajah Tsania dengan pandangan mencerun.Ewah budak ni.Dia nak tazkirah kita pula dah!

 Dalam pada merancang untuk ‘menembak’ Tsania semula,terdengar loceng pintu berbunyi sehingga memaksa Merah dan Tsania saling berpandangan.

“Siapa tu?”

“Entah.”Tsania angkat bahu.

“Nak pergi jenguk ke?”soal Tsania mula bangkit dari tilam.

 “Kita pergi skodeng kat pintu dulu la.Tak berani nak buka pintu terus.”
Tangan Tsania ditariknya menuju ke pintu.Perlahan-lahan dia berjalan mendekati pintu dan melekapkan wajahnya ke situ sebelum cuba mengintai-intai gerangan orang di luar melalui lubang pintu.

“Siapa?”tepuk Tsania di bahu Merah.

Merah membulatkan mata merenung wajah Tsania sebelum dia buru-buru mencari tudungnya yang diletak ke atas sofa tadi.Rambutnya yang togel dibalut dengan tudung bawal dan mara ke pintu.

“Adrian datang.”bisik Merah ketika dia sedang memegang tombol pintu.

 “Bukalah pintu.”

“Kau gila?Dia datang malam-malam macam ni nak buat apa?”

“Habis tu kalau tak nak buka yang Kak Merah kelam kabut capai tudung tu kenapa?Buka ajelah.”

Bibir Merah diketap-ketap menahan debar yang makin menggila.

“Aku standby aje.”

“Dah la,kak.Buka ajelah pintu.Cuba bersangka baik.Mungkin ada benda penting yang dia nak cakap,”Tsania tepuk-tepuk bahu Merah lagi.

Dengan rasa berat hati,Merah terpaksa juga menarik pintu setelah berkali-kali loceng pintu ditekan.Wajah Adrian yang sedang memaniskan muka tertayang di depan mata.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.Ada apa ya?”Merah soal dengan suara mengeras.

“Boleh saya masuk?”

Mata Merah mencerun ke arah Adrian.Sudah la siang tadi tak sudah dia fikir bukan-bukan,sekarang Adrian pula dengan selamba nak masuk ke dalam di waktu begini.Memang nak cari nahas namanya!

“Awak takut ke?Jangan risau la.Kawalan keselamatan kat kondo ni ketat dan selamat.Takkan ada mana-mana pegawai pencegah maksiat yang akan datang serbu ke sini.”

Makin Adrian bersuara makin Merah rasa nak hempuk saja kepala si Adrian ni.

 “Sorry,saya gurau aje.Kalau tak boleh masuk tak apalah.Saya cuma datang nak hantar makanan untuk awak bertiga,”bungkusan makanan yang sejak tadi dipegang ditayang ke hadapan Merah dan Tsania lalu menghulurkannya kepada Merah.
Merah sambut dan meneliti ke segenap bungkusan makanan tersebut.

“Tak ada racun tikus pun kat dalam tu.Awak boleh makan tanpa was-was.”
Tak pasal-pasal telinga Merah berbulu mendengar ayat sindiran Adrian tapi bila dia pandang wajah lelaki itu dia pula yang termalu.Muka pun dah memerah tak ingat dunia.

“Saya tak cakap apa-apa pun.”sekadar nak menutup malu,Merah balas balik macam tu sehingga Adrian tergelak.

“Minta maaf la sebab kat dalam dapur tu tak ada bahan-bahan untuk memasak,sebab tu saya beli aje nasi bungkus ni untuk awak bertiga.Apa kata esok kita pergi shopping barang dapur kat supermarket.

Shopping barang dapur?Kat supermarket?

“Ye la.Takkan kat kedai tayar pula,kan?”senyuman Adrian boleh tahan melebar bila dia nampak muka Merah berubah corak.Semerta dia bersandar di tepi pintu sambil menyeluk poket seluar.

“Tak apa.Nanti pandai-pandai la kami pergi beli sendiri.”

 “Betul ni?”
Merah angguk sekali.

“Saya lupa nak cakap...kat atas meja sebelah almari depan tu ada senarai nombor telefon.Kalau ada apa-apa masalah,awak boleh rujuk kat situ.Ada nombor tukang paip,nombor delivery,nombor kecemasan.Semuanya ada.Nombor saya pun ada sekali.Kalau memerlukan apa-apa,just give me a call and I’ll be here for you.”senyum Adrian benar-benar membuatkan Merah berdehem halus.

Ah,kenapa makin lama makin dia rasa macam betul-betul nak sorokkan mukanya ke dalam mangkuk tandas aje ni?

Memang salah dia ke kalau dia berfikir yang bukan-bukan pasal Adrian?Atau silap Adrian yang sengaja biar dia bersangka buruk terhadapnya?Dan kenapa sekarang ni dia rasa yang Adrian tu macam betul-betul ikhlas aje?Merah bising dalam hati.

“Merah,boleh saya cakap dengan awak sikit?”soalan Adrian tu membuatkan Tsania memahami maksudnya.Buru-buru dia berlalu meninggalkan Merah dan Adrian berdua di hadapan pintu tanpa sempat Merah menghalang.

“Nak cakap apa?”

“Siang tadi saya ada terdengar perbualan Imanina dengan Tsania tentang awak.Dia orang kata awak sedang cari kerja.Betul ke?”

“Hmm.”

“Esok saya bawa awak ke satu tempat.Kebetulan pula di pejabat kawan saya tu ada jawatan kosong.Dia orang nak pakai pekerja secepat yang mungkin.”

“Serius ke?”entah kenapa bila menyebut hal ehwal kerja,terus Merah jadi teruja sehinggakan dia hampir terlupa yang dia sedang meletakkan bentengnya dengan Adrian sejak tadi.

“Yup.Saya akan recommend awak pada dia.Awak sediakanlah semua sijil dan bawa ke sana esok.Insya Allah,kalau ada rezeki awak…mesti awak akan dapat kerja kat sana.”

“Betul ni?”

“Betul.”

“Alhamdulillah.Terima kasih,Adrian!”Merah tayang senyuman lawanya.Bukan untuk Adrian tapi untuk apa yang Adrian sedang tawarkan.

Adrian betulkan posisi tubuhnya yang sejak tadi sedap bersandar di dinding.Pandang wajah Merah lama-lama buatkan dia rasa tenang.Terdetik di hati nak bertanya sesuatu setelah masing-masing menyepikan diri dengan agak lama.

“Boleh saya tanya awak sesuatu tak?”

“Nak tanya apa?”

“Awak asal dari mana?Maksud saya,di mana family awak tinggal?”pertanyaan Adrian itu segera membuatkan Merah menoleh pandang kepada lelaki itu dengan laju.Terasa berat nafasnya ketika ini mahu menjawab kerana dia sendiri sudah hampir terlupa tentang hal itu.Keluarga!

“Tsania dan Imanina itulah keluarga saya.”

 “Maksud saya,parents awak.”Merah melarikan anak matanya dari bertentang matanya dengan Adrian.Sungguh,dia rasa hatinya dipagut rasa sebak saat Adrian mula menyoal tentang ibu bapanya.Akhirnya dia menggeleng sebagai jawapan kepada soalan Adrian.

Parents awak dah tak ada?”

Merah menunduk sebelum melempar pandangan ke kawasan koridor sebelum bergerak menuju ke balkoni di luar kondo.Angin malam yang bertiup membuatkan dia sedikit damai.Tanpa sedar,Adrian mengekornya dari belakang dan bertenggek di sebelahnya sambil halakan pandangan ke wajah Merah yang ralit menekur dada langit.Jelas di atas sana kelihatan bintang-bintang yang bertaburan.Banyak.Nampak meriah.Hatinya terpalu lagi.Alangkah indahnya kalau hidupnya meriah bagai bintang-bintang di angkasa tapi dia tahu apa yang dah berlaku dalam hidupnya tentu ada sebab.

“Saya tak ada ibu bapa sejak saya kecil.Saya tak pernah kenal pun siapa mereka sebab sejak dulu lagi saya tinggal di rumah anak-anak yatim.Anak-anak yatim yang tinggal kat situlah keluarga saya dan cikgu serta penjaga yang menguruskan rumah anak-anak yatim itulah ibu dan bapa saya.”

“Maksudnya awak,Tsania dan Imanina bukan adik beradik kandung?”
Merah mengangguk perlahan.

Kami memang bukan adik beradik kandung tapi saya sayangkan mereka berdua sama seperti keluarga sendiri.Merekalah yang saya ada,dunia dan akhirat.”jawab Merah membuka cerita.

“Maksudnya,Tsania dan Imanina serupa macam awak?Membesar kat rumah anak-anak yatim?”

“Hmm.”

Maaf kalau saya bertanya tapi...awak tak cuba cari ibu bapa awak?”kali ini Adrian lontarkan satu lagi soalan.

Lama Merah tenung muka Adrian mencari satu kepastian sebelum menjawab soalan itu.Selama ini dia tidak pernah terfikir tentang hal mencari ibu bapa kandungnya.Susah.Perkataan mudahnya,mustahil kerana sejak awal lagi dia tidak ada apa-apa pengenalan diri yang boleh menjadi rujukan di mana-mana.

“Saya tak pernah terfikir pun hal tu.Entah hidup entahkan dah meninggal saya sendiri tak tahu.Dan saya tak bercadang nak cari mereka pun sebab saya boleh hidup sendiri tanpa ada keluarga.Tsania dan Imanina ada,merekalah keluarga saya sampai bila-bila,”terang Merah lagi.

“Kalaulah awak diberi pilihan,awak nak cari keluarga awak tak?”laju pula Adrian berbalas soalan dengan Merah.Hatinya meronta-ronta ingin mengajukan soalan begitu buat si gadis ini.

“Entah.Mungkin ya mungkin tidak.Dunia ni luas.Saya tak tahu kat mana nak mulakan.”Merah tergelak tetapi gelaknya tidak begitu ikhlas.

“Mungkin saya patut teruskan hidup tanpa fikir siapa ibu bapa kandung saya,kan?Sampai bila-bila pun saya mungkin tak akan tahu siapa keluarga kandung saya.Mungkin saya kena buang sebab keluarga saya tak mahukan saya.Who knows?Lebih baik begini saja.”Merah pedih hati sendiri bila menyebut perkataan kena buang.Mungkinkah?Entah,dia hanya meneka.

Adrian yang hanya mendengar menarik nafas dalam-dalam.Hati lelakinya tersentuh,bukan kerana kisah kehidupan si gadis yang bergelar anak yatim sejak kecil tapi kerana kecekalannya mengharungi hidup tanpa keluarga.Ah,betapa dia sangat beruntung selama ini kerana dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang serba sempurna.Ada ibu bapa dan adik beradik untuk bermanja dan mencurah kasih.Dia tak tahu mampukah dia menjadi sekuat Merah andai mereka bertukar tempat?

Allah takkan pernah menguji hambaNya diluar kemampuan mereka.Bisikan halus bergema di telinga Adrian mengingatkan hakikat itu.

Bebola mata Merah dicari dan memandang lama ke situ sehinggakan Merah sendiri melarikannya dari pandangan Adrian.Merah pula yang rasa tak selesa sehingga buat-buat berdehem.Baru tersedar yang dia sudah terbuka cerita tentang kisah hidupnya kepada Adrian.Punyalah sejak tadi dia nak mempertahankan diri,tapi malam ini sewenang-wenangnya dia bercerita kepada lelaki ini.Kau memang cari pasal Merah!kutuknya dalam hati.

 “Minta maaf kalau awak terpaksa dengar semua masalah saya.Saya tak berniat nak ceritakan apa-apa tentang hal peribadi saya.Saya...”

 “Saya yang patut minta maaf sebab dah cuba menyibuk hal peribadi awak.Awak jangan risau,Merah.Saya janji yang saya akan tolong awak dan adik beradik awak.Awak jangan bimbang pasal apa-apa pun.Saya ada kat sini dan awak boleh letakkan harapan di bahu saya.Saya janji akan bantu awak.”ujar Adrian bersungguh-sungguh.

“Jangan janji dengan saya apa-apa,Adrian sebab saya takut saya tak mampu nak bayar segala budi awak nanti.Saya yang patut berjanji dengan awak untuk bayar balik semua duit awak.”

“Dah la,saya rasa lebih baik awak balik sebab tak elok lelaki macam awak datang ke sini malam-malam macam ni.”Merah cuba mencari alasan untuk berlalu.Ketika itu dia sudah pun kembali mendekati pintu utama dan menolaknya separuh setelah tubuhnya berada di balik pintu.

“Okey,tapi jangan lupa tentang esok.Saya datang jemput awak pukul 8 pagi.Kita pergi pejabat kawan saya,okey?”

Okay,thanks.

 “Saya balik dulu.”Adrian mahu beransur tapi berpatah balik.

“Oh,jangan lupa makan.Have a good rest.Good night,assalamualaikum.”


“Waalaikummussalam.”Merah melepaskan satu nafas lega.Kelibat Adrian dihantar dengan pandangan mata sebelum dia merapatkan daun pintu.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...