Thursday 22 September 2016

Calon Pengantin Untuk Dipilih 1




Mata helang kepunyaan Carl terus memanah tepat ke anak mata Airis.Riak wajah Carl cukup jelas.Membuatkan Airis hilang kosa kata.Sejurus kemudian,Airis terdiam untuk jangka masa yang lama.

“Aku tak nak tengok muka kau sebaik saja kaki aku menjejak masuk ke dalam rumah,”ujar Carl dengan selamba tetapi dalam nada yang tegas.

“Tapi...”

“Aku tak nak dengar apa-apa pun yang keluar dari mulut kau.Kau faham kan apa yang aku cakap?” tangan Carl naik mengisyaratkan agar Airis berhenti bersuara.

 “Carl...”

“Keluar dari rumah ni atau aku akan malukan kau di hadapan keluarga aku dan juga keluarga kau.”sambung Carl sambil menjungkit sebelah keningnya.

Airis terdiam buat beberapa saat.Menekur roman wajah Carl yang nampak tenang buat dia jadi sakit hati.Malah bertambah sakit hati bila nampak lelaki itu melorekkan senyuman senget.

“Awak ugut saya?”

“Tak.Aku bagi pilihan pada kau.Jadi,kau pilihlah.Nak keluar secara rela atau dimalukan.”
Airis benar-benar sakit hati.Rasa terbakar dadanya mendengar kata-kata Carl yang cukup sinis dan tajam.Kalaulah bukan keluarganya ada di dalam sedang makan malam bersama keluarga Carl,dah lama dia bagi penampar ke muka lelaki ini.Tak guna!Cemuh hatinya tak sudah.

“Awak jangan menyesal!”tempelaknya geram.

 “Aku takut kau yang akan menyesal nanti.”

Senyuman sinis Carl membuatkan Airis terpaksa mengangkat bendera putih.Tahu yang dia sedang kalah dengan lelaki ini,dia terpaksa beralah.Kalau dia masih berdegil,dia yakin yang Carl pasti akan kotakan apa yang telah dikatakan.Tak mahu meletakkan hidupnya dalam sebuah risiko,Airis bergerak mendekati Carl.Wajah Carl ditenungnya sepuas hati.

“Okey,saya akan pergi.Puas hati?”

Usai saja Airis meninggalkan rumah bersama keluarganya,Carl hanya duduk dengan tenang di hadapan meja makan sambil menyumbatkan mulutnya dengan makanan.Tanpa menghiraukan pandangan ibu bapanya yang seakan tidak puas hati dengan apa yang telah terjadi,dia meneruskan suapan ke mulut.

“Carliff Andre!”pekik Sameera tiba-tiba.

Carl angkat muka memandang ibunya dengan muka bersahaja.Mulutnya dikesat dengan tisu lantas bangkit.

“Tolong jelaskan apa yang sedang berlaku!”suara halilintar Sameera membuatkan Carl menarik senyuman nipis.

Carl,answer me!”pekik Sameera bila Carl hanya mendiamkan diri.

 “Carl,beritahu kami apa sebenarnya yang sedang berlaku?Kenapa Airis balik macam tu aje?”aju Lukman pula dengan nada tenang.

“Mama dengan ayah dah dengar kan tadi apa jawapan dia?”poket seluar diseluk.Mata dihala ke hadapan tanpa memandang kedua ibu bapanya cuba-cuba mengingatkan semula apa alasan Airis ketika dia meminta diri untuk pulang tadi.

“Mama tak percaya Airis tiba-tiba saja nak balik sebab tak sihat.Ini mesti Carl dah cakap apa-apa kat dia masa kat luar tadi,kan?”tuduh Sameera lantang.

Carl mencebir dan mengangkat bahu.Malas mahu bertekak dengan ibu bapanya kerana Airis,langsung dia atur langkah dengan berniat mahu naik ke biliknya di tingkat atas banglo itu namun langkahnya terhenti sebaik saja namanya dilaung.

Okay,fine!Memang Carl yang suruh dia tinggalkan rumah ni.”

“Mama tak percaya itu saja yang Carl cakap pada dia.Mesti ada perkara lain yang Carl beritahu dia tadi.Betul tak?”dada Sameera dah mula naik turun menahan amarah yang sedang mengasak dada manakala Lukman pula cuba-cuba untuk menenangkan isterinya yang sudah habis sabar.

 “Ya,memang Carl minta dia tinggalkan rumah ni serta tinggalkan keluarga kita.Carl beritahu dia yang Carl tak nak ada apa-apa hubungan dengan dia.”

“Maknanya Carl beritahu dia yang Carl tak nak dia jadi calon pengantin Carl.Macam itu?”
Carl mengangguk yakin.

Sameera mengetap-ngetap bibir.Sungguh,dia terkilan dengan sikap anak terunanya nan seorang ini.Setelah bersusah payah dia mengaturkan majlis makan malam ini bersama keluarga Tan Sri Eusoff dan Puan Sri Kamalia,senang-senang saja Carl musnahkannya dalam masa tak sampai sepuluh minit.

“Carl memang betul-betul memalukan mama dengan ayah!Kalau betul pun Carl tak nak pada Airis,kenapa kena berlaku biadap macam ni?Mama tak pernah didik anak-anak mama kurang ajar dengan tetamu!”

“Carl rasa bukan Carl yang biadap tapi anak manja Tan Sri Eusoff tu!”balas Carl membela diri.Hatinya sakit tiba-tiba bila ibunya seolah mahu meletakkan kesalahan di bahunya sedang Airis yang patut dipersalahkan.

“Carl!”tegur Lukman sehingga Carl terkejut.Disebabkan hal tadi,dia tertinggi suara pada ibunya sendiri.Disebabkan hal ini dia terlupa makna hormat terhadap kedua ibu bapanya.

I’m sorry...ayah...mama.Carl tak bermaksud nak kurang ajar tapi apa yang Carl buat ni untuk diri Carl sendiri.”dia tertunduk ke lantai,cuba-cuba menghalau rasa marah yang bergumpal di dalam hati.

“Carl buat untuk diri sendiri?Habis tu,apa yang Carl buat untuk kami berdua?Mana  kami nak letak muka lepas ni?Carl memang sengaja nak memalukan kami,kan?”ujar Sameera dalam nada sesal dan kecewa.

Wajah Sameera dan Lukman dipandang.Kemudian,dia menggeleng.Kalau Sameera kata yang mereka berdua malu disebabkan kelakuan Carl terhadap keluarga Tan Sri Eusoff,dia lebih malu lagi jika dia beristerikan Airis.

Bukannya baru sehari dua dia kenal dengan Airis Tan Sri Eusoff.Sudah bertahun-tahun dia mengenali gadis itu malah dia sudah boleh menghafal apa aktiviti gadis itu setiap malam.Keluar masuk disko,pub dan kelab-kelab malam serta berpeleseran dengan lelaki-lelaki hidung belang cukup sinonim dengan dirinya.Tidak cukup dengan itu,dia juga pernah terserempak dengan gadis itu di sebuah hotel bersama seorang lelaki kaya.

Baginya,perempuan seperti Airis langsung tidak layak berdampingan dengannya.Memang gadis itu berasal daripada keluarga kaya dan terhormat tetapi kalau tidak pandai menjaga kehormatan,tidak ingin dia mahu menjadikan Airis sebagai calon pengantinnya.Never!

“Carl tak nak bincang apa-apa pasal perempuan tu dan keluarganya.Cukup Carl beritahu yang Carl tak nak ada apa-apa hubungan dengan dia malah keluarga dia.Jangan pernah aturkan lagi pertemuan Carl dengan dia selepas ni,mama...ayah.Carl tak nak terlibat apa-apa dengan dia.”

“Carl...”tangan Sameera yang naik menuding ke muka Carl cepat saja ditarik oleh Lukman.Dia memberi isyarat agar Sameera tidak meneruskan pertelagahan mereka.

“Suka hati Carl kalau macam tu.Buatlah apa pun yang Carl suka!”ucap Sameera dengan rahang yang naik turun melawan rasa.Tanpa berlengah-lengah,dia terus beredar begitu saja meninggalkan Carl dan Lukman berdua di situ.

“Ayah rasa lebih baik kalau Carl balik dulu,”arahan diberi sambil menepuk-nepuk bahu Carl.

“Hal mama tu nanti ayah selesaikan.Kamu jangan nak ambil hati sangat dengan mama kamu tu,”nasihat diberi kerana dia cukup faham dengan apa yang berada di fikiran isterinya dan juga anak lelakinya itu.

Terhenyak dengan arahan Lukman,Carl menurut.Sambil melangkah keluar dia mengepal-ngepal penumbuknya sambil menahan rasa.

Airis Tan Sri Eusoff,you will never be my bride.Never!



 p.s bakal terbit


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...