Friday 11 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 4

Ketika Adrian sedang berusaha memasukkan kunci ke lubang pintu setelah tiba di hadapan destinasi mereka,masing-masing saling berpandangan sesama sendiri.Liur yang ditelan rasa berpasir.Terkejut sebenarnya melihat kawasan persekitaran kondominium mewah yang mereka sangka rumah biasa.

 “Jemputlah masuk,”Adrian pelawa mereka sambil menjinjit beberapa beg milik mereka dan menapak ke ruang tengah lalu menuju ke ruang tamu.Beg-beg tadi diletak saja ke atas lantai berdekatan sofa dan mendekati pintu gelangsar yang bertutup dan dihiasi dengan kain langsir.Pintu gelangsar dibuka membiarkan biasan cahaya petang menerobos ke dalam ruang kondo.

“Ini rumah awak?”soal Merah dengan rasa yang masih tak percaya.Sekitar ruang kondo yang begitu cantik,mewah dan besar dijelajahi dengan ekor mata.Kagum sebentar.Rasa-rasanya kondominium milik Adrian itu jauh lebih besar dari rumah sewa Pak Cik Meon malah lebih hebat,lebih cantik dan lebih selesa.Jika mahu dibandingkan antara kedua-duanya,bagaikan langit dengan bumi saja.

Adrian mengangguk sekali dan Merah pula masih tak sudah memerhati kawasan dan ruang-ruang yang terdapat di dalam kondo tersebut.Terjentik-jentik rasa kagum dalam hati dengan apa yang sedang dilihatnya.Kemudian,dalam diam dia memuji-muji citarasa yang dimiliki oleh tuan punya kondo ini.Nampak mewah,elegan dan ada gaya tersendiri.

High taste betul!

Entah berapa juta agaknya harga kondo ni.Silap-silap mencecah puluhan juta.Tak dapat dia bayangkan berapa harga sebenarnya.Ini kalau dia kerja seumur hidup pun belum tentu dia mampu memiliki sebuah kondo macam ni.

“Ya Allah,cantiknya kondo ni!” teriak Imanina selamba sambil tersengih-sengih.

“Kalau awak nak buat tinjauan sekitar kondo ni,dipersilakan.”ujar Adrian memberi keizinan.

“Betul ni?”Imanina tayang wajah teruja.

“Hmm.”

“Jom,Nia!”spontan Imanina menarik tangan Tsania dan berlari ke arah bilik meninggalkan Merah berdua dengan Adrian di ruang tamu.Terasa dunia bagaikan mereka yang punya saja.

Hilang Imanina dan Tsania daripada pandangan,Merah atur langkah mendekati sofa dan duduk berdiam diri di situ sambil bermain-main dengan jari jemarinya.

 “Awak okey?”seru Adrian perlahan ketika lelaki itu sedang menghalakan langkah kepada Merah.

Merah hanya mengangguk tapi sedikit pun tak memandang wajah Adrian yang dah melabuhkan duduk di sofa berdekatan dengannya.

“Awak macam tak suka aje datang sini?”teka Adrian dengan sebelah kening ternaik.

 “Bukan macam tu cuma…”jawapan Merah yang serba salah langsung dipotong bila suara Imanina bergema.

“Kak Merah,datanglah sini kejap.Tengok ni,ada jakuzi lagi hah!”

Merah mencerunkan matanya kepada Imanina sambil menahan geram.Rasa macam nak piat saja telinga adiknya itu yang seperti tak ada perasaan segan.Dia punyalah rasa serba salah bercampur malu,si Imanina ni boleh selamba terjerit-jerit macam tu.
Kalut Merah memandang Adrian dengan riak bersalah tetapi Adrian sekadar tersenyum.

“Pergilah kalau awak nak tengok jakuzi tu.Saya tak kisah.”

“Err…”tiba-tiba Merah hilang kata.Tak tahu nak cakap apa bila Adrian seakan menyokong tindakan Imanina yang dah buat kondo ni macam dia punya.

“Adrian.”Merah berani-berani menegur Adrian sambil meraup wajah dengan penuh rasa serba salah.

Payahnya bila dia dan adik-adiknya seakan terperangkap dengan keadaan.Rasa-rasanya lebih baik dia berterus terang saja kepada Adrian tentang apa yang sedang berada di dalam fikirannya sekarang.Nanti lagi jauh perginya lagi susah dia nak cari jalan keluar.Bahaya!

“Hmm…ada apa?”

“Terus terang saya cakap yang kami bertiga ni tak mampu nak menyewa kondo awak ni.Saya cukup berterima kasih pada awak atas apa yang awak dah buat pada kami.Awak tolong kami tadi pun dah besar rahmatnya kepada kami tapi kami tak mampu bayar sewa kondo ni.Kami ni bukan orang senang dan saya harap awak faham.”Merah menolak dengan baik pelawaan Adrian.

Memang cari pasal kalau mereka tinggal di sini dan membayar sewanya kepada Adrian.Silap-silap,hujung bulan mahu makan pasir jawabnya!

 “Siapa kata saya nak sewakan pada awak bertiga?”Adrian mengangkat kening dan bersandar pada sofa tidak jauh dari Merah.

Merah juga angkat kening sambil tayang muka pelik.Beg sandang miliknya yang sejak tadi berada di atas riba dipeluk erat.Bajunya dibetul-betulkan sebelum menala pandangan kembali kepada Adrian.

“Habis tu,kenapa bawa kami ke sini?”suara Merah sudah meninggi.Tiba-tiba saja hatinya diserang bertubi-tubi dengan rasa cuak dan takut.Janganlah cakap yang Adrian ni nak buat benda tak baik kepada mereka!

Adrian tergelak tapi ia masih tak mampu membuatkan Merah duduk diam di situ.Hampir saja lagi dia bangkit dan nak membuat rempuhan ke pintu utama kondo,Adrian pantas menahan dengan suaranya.

 “Awak jangan salah faham.Memang betul saya benarkan awak bertiga tinggal di sini tapi itu tak bermakna saya mahu sewakan.”

“Apa yang awak cuba cakap ni?”suara Merah bergetar lain macam.Sempat lagi dia meliarkan matanya mencari-cari kelibat Imanina dan Tsania.
Makin menggelabah Merah,makin galak ketawa Adrian sehinggakan Merah dah siap memasang kekudanya.Beberapa langkah saja lagi Adrian mahu menapak ke arahnya,nama kedua-dua adiknya itu dilaung dengan mata yang hampir berkaca-kaca.

“Awak jangan macam-macam.Kalau awak berniat nak buat benda tak senonoh pada kami,saya tak teragak-agak untuk cederakan awak.Lebih baik awak berundur!”suara keras Merah dengan gayanya seperti ahli tomoi membuatkan Adrian terus matikan senyuman dan menelan liur.

Back off!”gertak Merah dengan berani.

“Merah…saya…”

“Saya dah kata,back off!”makin Adrian nak dekat makin Merah mengeraskan suaranya.

“Nina!Nia!Jom keluar dari sini!”Merah melaung memanggil adik-adiknya dan sejurus selepas itu,kedua-duanya sudah terpacak berdekatan sambil memerhatikan Merah dan Adrian dengan reaksi terkejut.

“Apsal Kak Merah?”

“Kita blah dari sini!Tak ada manusia kat dunia ni yang jujur pun!Semuanya nak mengambil kesempatan.Buat baik tapi sebenarnya penuh dengan agenda.”sindir Merah pedas.Dalam waktu begini,tak kuasa rasanya dia nak menjaga mulut.Peduli apa kalau Adrian nak rasa kecil hati atau sakit hati.Sikit pun dia tak rasa bersalah dengan apa yang baru diucapkannya.Malah,tanpa membuang masa dia menarik tangan Imanina dan Tsania untuk keluar saja dari situ.

 “Kalau awak rasa saya ada niat tak baik pada awak,terpulanglah.Tapi sekurang-kurangnya awak kena fikir ke mana awak nak pergi lepas ni kalau awak tak terima pelawaan saya untuk tinggal di sini.”
Mendengar suara Adrian membuatkan Merah nak naik angin.

“Saya tak kisah kalau kena merempat kat tepi jalan dan jadi gelandangan asalkan bukan masuk dalam mulut harimau!”

“Merah,nanti dulu!”Adrian terpaksa menahan langkah mereka dengan jeritannya sebelum mara ke hadapan ketiga-tiga gadis itu.

“Demi Allah,saya tak ada niat buruk pada awak bertiga.Saya bukan orang jahat dan berniat nak buat bukan-bukan pada perempuan.Saya ikhlas bantu awak.”

“Heh,ikhlas bukan untuk dijaja.Ikhlas ada kat dalam hati dan untuk itu,saya tak tahu sejauh mana awak ikhlas.Orang zaman sekarang ni bukan peduli pun pada dosa pahala atau halal haram asalkan dapat puaskan hati dan nafsu sendiri.”Merah tembak Adrian sedas dengan ayat sinis sehinggakan riak wajah lelaki itu berubah.Rasa hilang punca untuk memujuk Merah dan adik-adiknya untuk tinggal di situ dan meyakinkan mereka yang dia tiada apa-apa niat tak elok.

“Ikut suka awak la nak fikir apa pun tapi saya nak awak bertiga tinggal kat sini sebab saya bimbangkan keselamatan awak.Kalau tak percaya pada saya,tak apa.Awak boleh buat keputusan yang terbaik.”Adrian jawab dengan wajah beku.

“Kalau saya nak ambil kesempatan pada awak,awal-awal lagi saya dah culik awak dan jual kat Siam.Tak perlu saya bersusah-payah jumpa tuan rumah sewa awak yang cenge dan selesaikan pasal rumah sewa tu.”sambungnya lagi.

Semerta Merah rasa tersindir dek kata-kata Adrian sehinggakan dia terpaksa menjeling pandang ke arah Imanina dan Tsania yang hanya membatukan diri sejak tadi.

“Awak boleh tinggal kat sini tanpa bayar sesen pun sebab saya takkan minta apa-apa caj.Buat saja macam rumah sendiri.Lagipun,kondo ni memang kosong.Daripada terbiar macam tu saja,lebih baik awak duduk sini dan tolong jaga kondo saya ni.”bebola mata Merah dicari Adrian sebelum dia menyambung.

Take it or leave it.Terpulang.”sekilas dia hantar senyum nipis sehinggakan Merah rasa yang dia betul-betul hilang punca.

“Macam mana?”duga Adrian sambil menyeluk poket seluarnya.







No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...